Banjir darat ancam penduduk sukarkan misi penyelamat

Banjir darat ancam penduduk, sukarkan misi penyelamat ke kawasan terjejas

ANGGOTA APM memeriksa keadaan bot yang akan digunakan untuk menyelamatkan mangsa banjir sebaik sahaja air melimpah masuk ke penempatan penduduk di Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ancaman banjir darat yang boleh berlaku akibat hujan lebat berterusan dan sistem saliran tidak mampu menampung aliran air turut diberi perhatian oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menjelang musim tengkujuh.

Keadaan itu bukan sahaja berisiko melanda kawasan perumahan dan bandar, malah penempatan rendah serta lokasi yang mempunyai masalah sistem saliran.

Ketua Cawangan Pengurusan Sekretariat APM Negeri Kelantan, Kapten (PA) Mohd. Ammar Ismail berkata, banjir darat boleh menyebabkan jalan raya dinaiki air sekali gus mengganggu pergerakan penduduk dan menyukarkan akses pasukan penyelamat ke kawasan terjejas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain banjir sungai, banjir darat turut menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian, khususnya apabila hujan lebat berterusan menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung aliran air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, penduduk juga diingatkan supaya tidak menangguhkan perpindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga keadaan banjir semakin buruk kerana tindakan itu boleh mengundang risiko keselamatan.

Katanya, paras air yang meningkat dengan cepat boleh menyebabkan laluan keluar terputus, arus menjadi deras dan kenderaan penyelamat tidak lagi dapat memasuki kawasan tertentu.

“Keadaan itu menyebabkan anggota penyelamat berdepan risiko tambahan ketika membawa keluar mangsa, terutama warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta individu yang memerlukan bantuan khas.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan operasi pemindahan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan operasi, Mohd. Ammar berkata, pemeriksaan dan penyelenggaraan aset dilaksanakan bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Menurutnya, penempatan anggota dan aset turut mengambil kira kawasan berisiko serta keperluan bertindak pantas apabila berlaku kecemasan.

Aset darat digunakan untuk pergerakan anggota dan penghantaran bantuan, manakala bot serta peralatan menyelamat di air digerakkan mengikut keadaan banjir dan kesesuaian lokasi.

Mengenai penugasan anggota dan penggunaan aset, katanya ia diselaraskan berdasarkan situasi semasa bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini