PETALING JAYA: Kekecohan di kawasan bangku simpanan Selangor FC (SFC) ketika berdepan Kuching City mencetuskan kemarahan ketua jurulatih Gergasi Merah, Kim Pan Gon yang mahu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyiasat insiden berkenaan.
Pan Gon mendakwa pemain Kuching City, Nazmi Faiz menghampiri kawasan bangku simpanan Selangor ketika meraikan jaringan sehingga mencetuskan ketegangan antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA, kelmarin.
Kekalahan 2-0 di tangan Kuching City di Stadium Taha Ariffin, kelmarin menyaksikan Selangor gagal mara ke final Piala FA 2026/2027 apabila tersingkir dengan agregat 2-3.
Menurut Pan Gon, tindakan pemain lawan menghampiri kawasan bangku simpanan sehingga berada dekat dengan ketua jurulatih bukan sahaja tidak wajar, malah boleh mencetuskan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku dalam bola sepak.
“Pemain yang menjaringkan gol tidak boleh datang ke bangku simpanan pasukan lawan dan menyerang ketua jurulatih pasukan tersebut. Itu sangat mengecewakan, saya mahu MFL menyiasat insiden ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Lebih mengecewakan Pan Gon apabila pemain dan pegawai Selangor turut dilayangkan kad merah selepas bertindak menghalang individu berkenaan daripada menghampirinya, sedangkan tindakan mereka adalah untuk melindungi bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
“Saya tidak fikir kakitangan dan pemain kami layak menerima kad merah. Siapa yang sepatutnya melindungi ketua jurulatih apabila seseorang daripada pasukan lawan datang menghampiri secara agresif?
“Mereka hanya mahu menghalangnya. Saya mahu melindungi pemain dan kakitangan saya. Itu sahaja,” ujarnya.
Pan Gon menegaskan meraikan jaringan adalah sebahagian daripada bola sepak, namun perkara itu perlu dilakukan dengan penuh rasa hormat tanpa melampaui batas sehingga mencetuskan provokasi terhadap pihak lawan.
“Kita boleh kalah, itu tidak mengapa tetapi apa yang lebih penting ialah semangat kesukanan,” jelas Pan Gon.
Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengakui cabaran dihadapi bukan mudah ketika pasukannya beraksi selama 120 minit dengan hanya 48 jam waktu rehat serta kehilangan kira-kira tujuh pemain utama.
“Bukan mudah bermain selama 120 minit dengan hanya 48 jam waktu rehat, terutama apabila kira-kira tujuh pemain utama tidak dapat diturunkan.
“Namun, saya percaya kepada semua pemain dan malam ini mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar layak berada di pentas final,” ujarnya. – UTUSAN











