Konflik global ancam keselamatan negara

Konflik global ancam keselamatan negara

KONFLIK global boleh menjejaskan keamanan, ekonomi dan keselamatan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari sedang menyaksikan banyaknya konflik politik dan konflik bersenjata berlaku dalam beberapa wilayah geopolitik. Ada konflik terbabit sangat meruncing dan kompleks selain sukar diselesaikan secara berkesan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada September lalu menyebut konflik bersenjata yang berlaku di beberapa wilayah geopolitik hari ini sebagai keadaan yang meruncing dan kompleks yang sukar diselesaikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Peperangan di Ukraine-Russia yang belum selesai, konflik Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, konflik di Gaza dan konflik kumpulan bersenjata Houti dan Arab Saudi yang belum dapat diselesaikan secara konkrit memberi kesan ketidakstabilan rantau terbabit dan boleh merebak menjadi ancaman terhadap keselamatan global jika tidak ditangani secara berkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Contoh, perang Russia-Ukraine yang bermula pada 2014 dengan pencerobohan Russia ke Crimea mencetuskan konflik besar pada 2022 dan berlarutan hingga kini masih gagal mencapai jalan penyelesaian walaupun proses damainya membabitkan AS.

Impak krisisnya merangkumi krisis kemanusiaan, gangguan bekalan tenaga dan makanan global.

Selain itu, perluasan risiko konflik ketenteraan berskala besar ke negara Eropah lain boleh meningkat jika ruang udara beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti Poland, Romania dan Estonia sering dicabuli pertahanan udara Russia.

Situasi ini boleh meletakkan rantau Baltik dalam kancah peperangan yang boleh mengganggu kestabilan politik antarabangsa.

Isu geopolitik di kawasan Balkan turut membabitkan isu pengiktirafan sempadan antara Serbia dan Kosovo serta konflik di Kaukasus Selatan antara Armenia dan Azerbaijan turut menjadi titik panas yang boleh mencetuskan konflik bersenjata antara negara-negara terbabit.

Demikian juga ketegangan Iran-AS yang bersekutu dengan Israel membawa risiko perang proksi yang berpanjangan membabitkan Hamas, Houti, Hizbullah dan beberapa negara Teluk.

Konflik tersebut menyebabkan berlakunya gangguan bekalan minyak, ketegangan serantau dan krisis kemanusian.

Selain itu, konflik India-Pakistan berkaitan wilayah Kashmir, konflik di Sudan, ketidakstabilan di Mali, pergolakan di Republik Demokratik Congo, ketegangan Beijing-Taipei (Taiwan) merupakan konflik-konflik yang mampu mencorakkan geopolitik global.

Sayugia difahamai di Asia Tenggara krisis Laut China Selatan yang membabitkan sengketa maritim antara negara Asia Tenggara (Vietnam, Filipina, Malaysia, Indonesia) dan tuntutan wilayah oleh Beijing (China) boleh membawa gangguan perdagangan dan insiden pencerobohan bersenjata.

 

RUNDINGAN DIPLOMATIK JADI PENYELAMAT

Konflik semakin meningkat dan memerlukan rundingan diplomatik yang menyeluruh dan berkesan.

Dalam kebanyakkan konflik bersenjata risiko kehilangan nyawa orang awam tidak berdosa, kemusnahan infrastruktur dan krisis kemanusiaan seperti kebuluran mungkin berlaku dengan teruknya.

Paling membimbangkan ialah konfilik di wilayah tertentu boleh membawa kepada risiko perang nuklear, percambahan atau peningkatan serangan pengganas dan risiko eskalasi peperangan serantau.

Konflik-konflik tersebut juga turut memberi impak langsung kepada ekonomi global. Ia menyebabkan berlakunya banyak gangguan terhadap eksport makanan, baja dan tenaga melalui Laut Hitam.

Sementara ketegangan di Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb serta serangan terhadap kemudahan minyak di Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan global, sekali gus menyebabkan kenaikan harga bahan api, peningkatan inflasi, kemerosotan mata wang dan tekanan ekonomi yang dihadapi banyak negara.

Kebanyakan negara membangun, khususnya negara mundur, akan berdepan tekanan yang lebih besar akibat kenaikan kos makanan dan tenaga berbanding negara maju yang masih mempunyai keupayaan mengurus kesan tekanan ekonomi seperti peningkatan kadar faedah, harga tenaga dan kos pengeluaran.

MALAYSIA JUGA BOLEH TERKESAN

Malaysia sendiri boleh terkesan akibat konflik geopolitik global yang berterusan. Negara boleh berdepan dengan krisis bekalan tenaga dan makanan, bahkan ancaman keselamatan.

Dalam berdepan dengan sebarang kemungkinan tersebut maka negara perlu sentiasa siap siaga dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global.

Justeru, kita mengharapkan jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan mempertingkatkan kesiapsiagaan, termasuk dalam bekalan makanan, air dan tenaga negara agar berada dalam keadaan mencukupi serta tidak terganggu mestilah bersifat ‘cakap serupa bikin’ .

Dalam menangani situasi konflik global yang semakin kompleks dan meruncing ini maka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memainkan peranan dengan berkesan.

Namun, ia bukannya satu perkara yang mudah kerana Majlis Keselamatan PBB sendiri tidak lagi menggambarkan realiti geopolitik semasa disebabkan badan itu masih kekal dalam susunan kuasa dunia era Perang Dunia Kedua.

Kelemahan yang wujud ini menyebabkan ia tidak mampu mengurus konflik dengan berkesan. Apatah lagi jika berlaku keadaan konflik bersenjata yang membabitkan kalangan kuasa besar yang sering menggunakan kuasa vetonya secara tidak adil atu berat sebelah.

Malah, seringkali berlakunya penglibatan kuasa besar dan anggota tetap Majlis Keselamatan dalam beberapa konflik utama dunia telah mewujudkan krisis pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.

Kelemahan yang wujud ini juga menyebabkan kuasa sederhana turut bertindak tanpa memperdulikan akibat atau tindakan antarabangsa. Justeru, tidak hairanlah kebanyakan konflik global gagal diselesai dengan berkesan oleh badan keselamatan dunia itu sehingga menyebabkan banyak negara akan terkesan dengan keadaan konflik yang amat mencabar ini.

Justeru, PBB memerlukan pembaharuan komprehensif supaya terus relevan dalam menangani cabaran global yang semakin rumit.

Yang pastinya, pelbagai konflik yang berlaku di pentas global berpotensi menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau serta global.

Sesetengah konflik yang masih dalam usaha mencari perdamaian melalui saluran diplomatik boleh bertukar menjadi tegang ke arah konflik bersenjata. Hakikatnya, ketegangan geopolitik dan krisis kemanusiaan yang berlaku dalam dunia hari ini menjadi cabaran utama yang memerlukan perhatian serius daripada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB. -UTUSAN

 

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini