Sokong penuh calon, jangan biar isu dalaman berlarutan

Sokong penuh calon, jangan biar isu dalaman berlarutan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli dan jentera Barisan Nasional (BN) perlu memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih parti bagi mengelak sebarang isu dalaman berlarutan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perbezaan pandangan atau rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon merupakan perkara biasa setiap kali pilihan raya tetapi perkara itu tidak seharusnya menjejaskan gerak kerja parti.

“Ini kalau setiap kali pilihan raya itu biasalah. Tetapi yang paling penting, kalau majoriti daripada kita sebagai ahli parti dan juga jentera-jentera parti, kita boleh mengambil sikap yang positif yang saya sebut tadi, selalunya benda ni akan henti sendirilah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia tidak akan berpanjangan. Sebab itu, saya tengok jentera yang ada hari ini, saya cukup merasa yakin supaya mereka ini boleh menang di kedua-dua kerusi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perjumpaan bersama jentera BN DUN Ayer Molek dan Ayer Keroh di Bilik Gerakan Ayer Molek di sini hari ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi kononnya berlaku penolakan terhadap calon BN di empat kerusi pada PRN Melaka kali ini iaitu Kuala Linggi, Pantai Kundor, Klebang dan Ayer Molek.

Mengulas keyakinannya terhadap peluang kemenangan calon BN di kedua-dua kerusi berkenaan, Johari berkata, beliau melihat calon mempunyai keyakinan tinggi untuk menghadapi saingan.

Katanya, keyakinan itu perlu diterjemahkan melalui kerja keras dan komitmen jentera sepanjang tempoh berkempen.

“Keyakinan itu perlu dilambangkan dengan kerja kita. Kalau kerja tidak dibuat, kita hanya yakin tetapi tidak tahu bagaimana hendak mencapai kemenangan.

“Saya nampak jentera di sini cukup komited dan saya berdoa supaya mereka memperoleh kemenangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini