REMBAU: Seramai 5,000 pelajar sekolah dan warga universiti di negeri ini disasarkan hadir ke program BOOKWAVE & INNOVATION: Kembara Ilmu 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November ini di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.
Antara pengisian program melibatkan pesta buku, perkongsian ilmu, pameran inovasi serta pelbagai aktiviti komuniti.
Mengangkat tema Kembara Ilmu, Membina Komuniti, program yang dijadualkan perasmiannya pada 11 November ini merupakan inisiatif pelajar Projek Tahun Akhir (IMD317), Diploma Pengurusan Maklumat, Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, di bawah seliaan Pensyarah Kanan Fakulti, Al-Bakri Mohammad, A.N.S.
Menurut wakil penganjur, Zulfah Hazirah Muhammad Azizul, penganjuran program ini bertujuan memperkukuh budaya membaca, meningkatkan literasi digital, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta menggalakkan perkongsian inovasi dalam kalangan pelajar sekolah, universiti dan masyarakat setempat.
“Menariknya, program selama tiga hari itu bukan sekadar pesta jualan buku, malah menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi korporat, penerbit dan komuniti setempat dalam satu platform perkongsian ilmu yang menyeluruh.
“Sebanyak 18 vendor buku mengambil bahagian, antaranya Ilham Focus Network, Gua Novel Dot Com, D’Zest Resources, Ilham Publication, PTS Publications & Distributors, Popular Book Co. (M) Sdn. Bhd., Rima Enterprise dan beberapa penerbit serta pengedar buku lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulfah Hazirah berkata, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian ilmu, Pocket Talk, pameran agensi dan perkhidmatan awam, pertandingan mewarna prasekolah, photobooth, Spin Camera, Jualan Rahmah MADANI, MILO Truck, MAMEE Truck serta Food Festival yang menampilkan vendor tempatan.
Jelasnya lagi, program ini turut menampilkan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Rembau hasil kolaborasi strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan pada 11 November ini bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Karnival ini merangkumi pelbagai aktiviti interaktif dan pertandingan bertemakan keselamatan Internet, antaranya Pertandingan Short Video, Pertandingan Sajak, Sukan Rakyat @Rembau serta Kempen Internet Selamat: Ghodah @Rembau (Explorace).
“Pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi Pocket Talk berkaitan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran tentang penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran program tersebut turut mendapat sokongan strategik daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Persatuan Perpustakaan UiTM (PUTRA).
Antara agensi yang turut mengambil bahagian terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan serta beberapa agensi lain.
Habis – UTUSAN










