MITI rujuk Kastam, Kementerian Kewangan isu duti import mesin - Johari - Utusan Malaysia

MITI rujuk Kastam, Kementerian Kewangan isu duti import mesin – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYER KEROH: Isu pembayaran duti import mesin yang didakwa masih dikenakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meskipun syarikat tempatan sudah mendapat kelulusan pengecualian daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan dibawa kepada JKDM dan Kementerian Kewangan untuk tindakan susulan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dibangkitkan beberapa pengusaha industri ketika sesi dialog bersama komuniti perniagaan di Melaka apabila terdapat syarikat yang mendakwa masih perlu membayar duti ketika mengimport mesin dan peralatan walaupun sudah memperoleh surat kelulusan pengecualian daripada MIDA.

“Ada beberapa kes seperti ini dan saya akan membawa perkara ini kepada pihak Kastam serta Kementerian Kewangan. Perkara ini tidak boleh berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau begitu, tidak perlulah MIDA. Syarikat datang memohon, MIDA memberikan pengecualian tetapi apabila mesin dibawa masuk, mereka masih perlu membayar duti,” katanya.

Johari berkata, keadaan sedemikian boleh menjejaskan aliran tunai syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pelaburan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.

“Perkara ini tidak boleh berlaku kerana ia menjejaskan aliran tunai mereka.

“Mereka membuat keputusan membeli mesin kerana mahu meningkatkan kecekapan pengeluaran. Sebab itulah kita memberikan pengecualian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya belum berpeluang meneliti dokumen berkaitan isu yang dibangkitkan dalam sesi dialog berkenaan, namun meminta pengusaha industri mengemukakan fakta dan maklumat lengkap bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Saya belum berpeluang melihat dokumen berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam dialog tadi.

“Namun, berikan saya fakta dan maklumat lengkap, saya akan menyiasat perkara ini. Kalau bayaran itu tidak dipulangkan, kita perlu bertanya mengapa. Sampai bila orang hendak menghormati MIDA jika keadaan seperti ini berlaku?” katanya.

Johari turut menekankan kepentingan penyelarasan antara agensi kerajaan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat penguatkuasaan.

Katanya, sesi dialog bersama komuniti perniagaan penting untuk mengenal pasti masalah dalam pelaksanaan dasar, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengusaha industri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini