PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Qabil Irfan Azlan melengkapkan aksinya di kedudukan keempat keseluruhan pada perlumbaan penutup musim Piala Asia Moto4 di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar, hari ini.
Dalam saingan bersempena Grand Prix (GP) Motosikal Qatar itu, anak muda berusia 14 tahun tersebut mencatat dua keputusan podium selepas beraksi cemerlang dalam Perlumbaan 1 dan 2.
Pelumba berbakat besar berasal dari Terengganu itu mengungguli Perlumbaan 1 dengan catatan masa 19 minit 38.271 saat (s), manakala Resky Yusuf dari Indonesia di tempat kedua (19:38.281s) dan wakil Jepun, Waku Kunitate (19:38.470s) di kedudukan ketiga.
Untuk Perlumbaan 2 pula, Qabil Irfan muncul selaku naib juara menerusi lakaran masa 26:17.070s.
Pelumba Jepun, Kotara Togashi menjuarai Perlumbaan 2 selepas mencipta masa terpantas 26:16.039s, manakala, Muhammad Badly dari Indonesia di tempat ketiga dengan catatan masa 26:17.252s.
Persembahan konsisten yang dipamerkan Qabil Irfan menyaksikan dia mendaki ke tangga keempat keseluruhan selepas mengumpul 143 mata.
Sebelum ini, Qabil Irfan terlepas dua pusingan di Jepun dan Indonesia selepas mengalami kecederaan patah kaki sewaktu terbabit dalam kemalangan pada Moto4 Piala Eropah.
Juara keseluruhan Piala Asia Moto4 bagi musim 2026 menjadi milik pelumba Jepun, Hayato Chisiki setelah mengumpul 170 mata keseluruhan. – UTUSAN











