ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 8-1 selepas menewaskan DPMM FC 6-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
JDT yang melangkah ke pentas final Piala FA buat kali kelima berturut-turut akan mempertahankan trofi tersebut pada aksi final di SSI, Januari depan.
Pada perlawanan itu, pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz menurunkan Joao Figueiredo dan Jon Irazabal dalam kesebelasan utama selepas setahun tidak beraksi akibat penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes pemalsuan dokumen.
Keputusan menurunkan Figueiredo itu merupakan percaturan tepat setelah pemain kelahiran Brazil itu meledak gol pembukaan pada minit ke-27.
Skuad Harimau Selatan hampir memecahkan kebuntuan pada minit ketujuh namun percubaan dari jarak dekat oleh Yago Cesar sedikit tersasar.
Pasukan tuan rumah itu semakin hampir mencipta jaringan dua minit berselang, malangnya tandukan yang dilakukan Jairo Da Silva sekadar menggegar tiang gol DPMM.
Afiq Fazail turut berpeluang mengancam kubu skuad kendalian James McAllister namun rembatan deras dari luar kotak penalti sedikit tersasar pada minit ke-14.
Jairo sekali lagi mempunyai peluang keemasan untuk mencipta jaringan pada minit ke-38 namun bola tandukannya sekadar terbias tiang gol lawan dan melantun keluar.
Bersambung babak kedua, Figueiredo hampir menambah jaringan seawal minit ke-46 namu rembatan deras yang dilepaskan tersasar daripada pintu gol lawan.
Ketika pasukan tuan rumah giat melancarkan serangan, pasukan pelawat mencipta kejutan apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-49 hasil jaringan Jordan Murray.
Miguel Oliveira berjaya merampas bola daripada David Medina dan melorongkan bola kepada Dalberto Belo sebelum melorongkan bola kepada Murray untuk mencipta jaringan.
Jairo terus dirundum malang apabila percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-52 sekadar menggegar tiang gol pasukan lawan.
Pada minit ke-59, pasukan tuan rumah kembali berada di hadapan selepas Haimie Abdullah Nyaring menyelamatkan percubaan Jairo namun gagal menafikan percubaan kedua Manuel Hidalgo.
Empat minit berselang, JDT menambah jaringan menerusi percubaan dari luar kotak penalti menerusi sepakan lencong Oscar Arribas menewaskan Haimie buat kali ketiga pada perlawanan itu.
Selepas berhempas pulas melakukan serangan, Jairo akhirnya berjaya menemui sentuhan penyudah pada minit ke-66 setelah tandukan yang dilakukan menewaskan penjaga gol lawan.
Pada minit ke-87, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Firdaus Dahlan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Nurikhwan Othman dan pemain gantian, Daniesh Amirrudin mudah menyempurnakan sepakan tersebut.
JDT terus menghukum pasukan pelawat setelah sepakan penjuru yang diambil Ager Aketxe ditanduk oleh Marcos Guilherme pada penghujung permainan.-UTUSAN











