Pelaksanaan tahanan rumah Najib perlu segera dilaksanakan - Utusan Malaysia

Pelaksanaan tahanan rumah Najib perlu segera dilaksanakan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan segera tanpa sebarang kelewatan.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) bertanggungjawab mentafsir undang-undang dan peruntukan Perlembagaan, justeru perkara itu tidak perlu dibawa semula ke mahkamah.

“Tidak perlu mendapatkan penjelasan daripada mahkamah kerana pelaksanaannya berdasarkan keputusan yang sudah dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada pandangan saya, keputusan Lembaga Pengampunan perlu dipatuhi sepenuhnya kerana Peguam Negara (AG) sudah mengeluarkan kenyataan bahawa sebaik saja denda RM50 juta dibayar, arahan dan keputusan lembaga itu akan berkuat kuasa secara automatik,” katanya pada sidang media selepas menamatkan lawatan kerja ke Türkiye, hari ini.

Pada Jumaat lalu, UMNO mengesahkan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib sudah dibayar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah mengikut syarat pengampunan bersyarat yang diterimanya.

Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan mahu membuat penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan selepas pembayaran denda berkenaan.

Susulan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, bagi menjelaskan pendiriannya berhubung pematuhan terhadap titah diraja berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat Najib.

Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati institusi perundangan dan AGC, namun kredibiliti institusi berkenaan perlu dipelihara bagi memastikan keyakinan rakyat terus terjamin.

Ditanya sama ada Perdana Menteri boleh mengarahkan Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong, Ahmad Zahid berkata, sebarang keputusan dibuat atas nasihat Perdana Menteri.

“Adalah baik apabila Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara menghadap baginda.

“Bagaimanapun, kenyataan Istana Negara sudah menjelaskan dengan amat terang mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa prerogatif baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan tidak seharusnya dipersoalkan,” katanya.

Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib pada mesyuarat lembaga itu yang ke-64.

Baginda membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dalam kes SRC International. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini