'Tidak sangka jasad ditutup kain di tengah jalan rakan saya sendiri'

‘Tidak sangka jasad ditutup kain di tengah jalan rakan saya sendiri’

JENAZAH Muhammad Hasif Iman Nurul Akla ditutup kain selepas terlibat kemalangan di Jalan Pekan-Kuantan dekat Tanah Putih di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: “Saya tidak sangka jasad yang ditutup kain di tengah jalan itu sebenarnya rakan saya sendiri,” kata Nur Syahmi Hazim Rostan Findi, 19, antara saksi terawal kejadian kemalangan maut di Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Tanah Putih di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Muhammad Hasif Iman Nurul Akla, 19, merupakan pelajar jurusan Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah (KVSAS) Rompin.

Nur Syahmi berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja dengan bapanya menaiki lori dari Ubai, Pekan ke Tanah Putih sebelum melalui lokasi kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika saya sampai di lokasi, sudah ada beberapa orang yang berhenti dan membantu mangsa selain melihat satu jasad terbaring dan ditutup kain. Apabila saya buka tingkap lori untuk melihat dengan lebih jelas, rakan yang saya kenali sebagai Hazim memanggil nama saya.

“Selepas itu baru saya tahu mereka berdua terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Nur Syahmi, dia mengenali mangsa sejak mula memasuki kolej berkenaan kira-kira empat tahun lalu dan mereka merupakan penghuni asrama di blok yang sama.

Katanya, meskipun tidak terlalu rapat, mereka sering bertegur sapa dan berbual apabila bertemu di kolej.

“Dia seorang yang ramah dan ramai mengenalinya di kolej. Kami memang selalu berborak seperti kawan-kawan biasa. Saya sedih apabila melihat keadaan dia kerana memang tidak sangka perkara seperti ini berlaku kepada kawan sendiri,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang membonceng motosikal dipercayai tercampak selepas motosikal berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan.

Impak kejadian menyebabkan bahagian leher mangsa terkena besi penghadang jalan sehingga mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Penunggang motosikal yang hanya dikenali sebagai Hazim, 19, pula mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini