Affendy mahu Bukak Mulut jadi platform suara jujur, bukan kejar viral - Utusan Malaysia

Affendy mahu Bukak Mulut jadi platform suara jujur, bukan kejar viral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar mahu mencipta kandungan sensasi demi meraih perhatian netizen, pengendali podcast Bukak Mulut, Affendy Jailani, sebaliknya mahu menjadikan platform itu ruang untuk mengetengahkan kisah sebenar, pandangan jujur dan pengalaman individu daripada pelbagai latar belakang.

Menurut Affendy, setiap tetamu yang diundang mempunyai cerita tersendiri untuk dikongsikan, terutama mengenai sisi kehidupan yang jarang dipaparkan kepada umum.

Katanya, masyarakat sering membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan apa yang dilihat di media sosial, sedangkan realiti kehidupan tidak semestinya seindah gambaran yang dipaparkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai orang nampak kehidupan di media sosial ini sempurna, tetapi hakikatnya banyak perkara yang tidak dipaparkan di sebalik kamera. Saya mahu Bukak Mulut menjadi ruang untuk kita mendengar cerita daripada perspektif mereka sendiri,” katanya.

Dikendalikan secara santai tetapi terbuka, Bukak Mulut mengetengahkan pelbagai topik berkaitan dunia hiburan, budaya digital dan kehidupan sebenar, khususnya perkara yang sering menjadi perhatian masyarakat.

Antara tarikan podcast itu ialah kepelbagaian latar belakang tetamu yang diundang, termasuk penggiat industri hiburan, penyanyi, pencipta kandungan, usahawan dan figura awam.

Malah, Bukak Mulut turut menampilkan nama besar industri hiburan serantau seperti Bunga Citra Lestari, Rossa dan Cakra Khan, selain figura tempatan seperti Nourul Depp, Norjuma Habib Mohamed, Imranul Effendy, Fauziah Latiff dan Betty Banafe.

Kepelbagaian tetamu berkenaan memberi peluang kepada penonton mengenali sisi berbeza individu yang selama ini lebih dikenali menerusi karya, kerjaya dan populariti masing-masing.

Bagi Affendy, mengendalikan podcast bukan sekadar memerlukan kemahiran mengemukakan soalan, sebaliknya turut menuntut keupayaan memastikan setiap perbualan mempunyai nilai, konteks dan mesej yang jelas.

Dia mengakui antara cabaran utama ialah kecenderungan pengguna media sosial menilai sesuatu perbualan berdasarkan potongan video pendek yang tular, sehingga berisiko menimbulkan salah faham terhadap maksud sebenar tetamu.

“Kadang-kadang potongan video yang viral di media sosial itu cuma beberapa saat daripada keseluruhan perbualan. Bila tengok pendek-pendek, konteks sebenar boleh lari.

“Sebab itu saya selalu galakkan orang tonton episod penuh supaya mereka faham keseluruhan cerita dan apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh tetamu,” jelasnya.

Mempunyai pengalaman dalam bidang komunikasi, pemasaran digital dan penerbitan kandungan, Affendy sebelum ini pernah terlibat dalam industri penyiaran bersama Media Prima.

Dia turut mempunyai pengalaman bekerja dalam sektor penerbangan dan perbankan, sekali gus membentuk pemahaman lebih luas terhadap komunikasi serta penghasilan kandungan yang bersesuaian dengan kehendak khalayak.

Mengulas penerimaan penonton, Affendy menyifatkan sokongan yang diterima setakat ini sebagai perkembangan positif dan pembakar semangat untuk terus memperkukuh identiti Bukak Mulut.

Affendy berharap podcast berkenaan dapat berkembang sebagai platform konsisten yang mengangkat kisah manusia, realiti industri hiburan serta isu semasa yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Menyasarkan golongan muda dan profesional, Bukak Mulut boleh diikuti menerusi Spotify, YouTube dan TikTok dengan episod baharu disiarkan setiap minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini