Wei Chong-Kai Wun lupakan WTF

Wei Chong-Kai Wun lupakan WTF

Man Wei Chong-Tee Kai Wun terkandas pada separuh akhir Terbuka Korea selepas tunduk di tangan beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mahu mengukuhkan ranking dunia sebelum Terbuka Malaysia selepas peluang beraksi pada Jelajah Dunia Akhir (WTF) BWF, bulan depan sudah lama tertutup.

Gandingan No. 9 dunia itu, kelmarin, terkandas pada separuh akhir Terbuka Korea selepas tunduk di tangan beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 17-21, 17-21 dalam masa 39 minit.

Kekalahan itu adalah kali ketujuh berturut-turut dialami Wei Chong-Kai Wun dan masih buntu untuk mencari formula terbaik mengukir kemenangan sulung ke atas Won Ho-Seung Jae.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ekoran kegagalan tersebut, Kai Wun berkata, fokus mereka kini dialih kepada Jepun Masters dan Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini serta minggu berikutnya.

“Saya rasa kami sudah tiada peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir dan kami
cuma mahu beri yang terbaik dalam kejohanan seterusnya.

“Masih ada dua kejohanan lagi (di Jepun dan Hong Kong) dan mungkin sasaran kami adalah kelompok lapan terbaik dunia menjelang Terbuka Malaysia tahun depan,” katanya sewaktu ditemu bual wakil BWF, kelmarin.

Dapat difahami mengapa Wei Chong-Kai Wun sudah menyerah kalah untuk memburu tempat ke WTF, selepas beberapa isu kecederaan yang terpaksa diharungi, musim ini menyebabkan ranking mereka terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia.

Selain itu, percubaan barisan kejurulatihan memecah ganding beregu lelaki yang melibatkan mereka berdua turut mempengaruhi kejatuhan ranking dunia.

Ranking Wei Chong-Kai Wun dalam WTF juga tidak bagus iaitu di kedudukan ke-33, walaupun, mereka kini kembali bergelar pasangan No. 9 dunia selepas menjuarai Terbuka Perancis, bulan lalu.

Untuk beraksi pada WTF, hanya lapan beregu terbaik yang layak dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani sudahpun mengesahkan slot mereka dengan ranking No. 1, manakala, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di tangga keenam, tetapi kedudukan mereka masih belum selamat.

Menurut Kai Wun, Jepun Masters dan Terbuka Hong Kong merupakan dua kejohanan terakhir mereka tahun ini, sebelum berehat seketika dan menyambung semula perjuangan untuk musim 2027 pula.

Mengulas mengenai kekalahan kepada Won Ho-Seung Jae, Kai Wun mengakui, pertahanan mereka masih banyak kekurangan dan perlu memperbaiki beberapa isu bagi mengelak terus ditimpa kegagalan di tangan beregu sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini