Kes 1MDB tiada kaitan dengan titah pengampunan Najib

Kes 1MDB tiada kaitan dengan titah pengampunan Najib

NOR Azita Abdul Rahman (depan tengah) menunjukkan laporan polis terhadap AGC yang dibuat bersama pimpinan dan ahli UMNO Bahagian Pekan berhubung isu tahanan rumah Najib Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di Pekan, Pahang. - UTUSAN/FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Isu hukuman membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak sepatutnya dikaitkan dengan pelaksanaan titah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes SRC International.

Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Datuk Nor Azita Abdul Rahman berkata, perkara itu jelas berdasarkan pemahaman terhadap titah pengampunan berkenaan yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah selepas menjelaskan denda RM50 juta.

Menurutnya, beliau tidak melihat sebarang kekeliruan sepatutnya timbul berhubung perkara itu memandangkan syarat pembayaran denda sudah dipenuhi pada 6 November lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua orang faham titah pengampunan bersyarat itu bahawa apabila Datuk Seri Najib membayar denda RM50 juta, beliau boleh meneruskan baki hukuman lebih kurang dua tahun lagi di rumah dan titah itu tidak melibatkan kes-kes lain.

“Jadi, kalau hendak beri alasan sekarang beliau ada kes 1MDB dan sebagainya, bagi saya itu tidak berkenaan kerana fokus titah pengampunan ini adalah untuk kes SRC yang jelas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis berhubung keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.

Nor Azita berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat perkara berkenaan, selain mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai alasan penangguhan yang disifatkan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.

Katanya, pihaknya turut mengambil kira pembayaran denda RM50 juta yang sudah diselesaikan serta pengeluaran Perintah Pelepasan (Order of Discharge) oleh Mahkamah Tinggi pada tarikh sama.

Menurutnya, dokumen itu juga sudah diserahkan oleh peguam Najib kepada pihak Penjara Kajang dan pihaknya berharap perkembangan itu dapat membawa kepada pelaksanaan titah pengampunan sebagaimana diperkenankan.

AGC pada 6 November lalu memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian dan penjelasan lanjut diperoleh berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Istana Negara semalam menegaskan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim adalah jelas, tidak mempunyai sebarang kekaburan dan tidak berkaitan dengan kes lain membabitkan Najib. Seri Paduka Baginda turut menegaskan semua syarat dalam perintah berkenaan telah dipenuhi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini