KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin berharap pihak berautoriti agama tampil memberikan pandangan dan pencerahan berhubung garis panduan serta pemantauan terhadap persembahan artis antarabangsa yang dibenarkan mengadakan konsert di Malaysia.
Nora berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius, khususnya membabitkan sensitiviti agama, budaya, akhlak dan akidah masyarakat Islam di negara ini.
Mengulas mengenai konsert berkenaan, beliau mempersoalkan sejauh mana kandungan persembahan artis antarabangsa dinilai sebelum lesen dan kelulusan diberikan oleh pihak berkaitan.
“Ya, konsert sudah berakhir. Penganjur sudah mendapat pulangan, artis pun sudah menerima bayaran. Tetapi persoalan saya, bagaimana dengan tanggungjawab kita terhadap masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini?
“Saya bukan mempertikaikan hak untuk berhibur. Saya sendiri anak seni dan memahami bahawa muzik adalah sebahagian daripada industri hiburan.
“Namun, di manakah garis panduan dan pemantauan terhadap kandungan persembahan artis antarabangsa yang dibenarkan mengadakan konsert di Malaysia?
“Siapa yang menilai kandungan persembahan sebelum lesen dan kelulusan diberikan? Adakah aspek sensitiviti agama, budaya, akhlak dan akidah turut diambil kira? Apakah impaknya kepada masyarakat, khususnya generasi muda dan umat Islam?” katanya di Threads.
Sehubungan itu, Nora berharap golongan asatizah, mufti dan pihak berautoriti agama tidak berdiam diri, sebaliknya tampil memberikan penjelasan serta panduan kepada masyarakat berhubung perkara berkenaan.
Beliau turut mengingatkan agar isu seumpama itu tidak hanya dibangkitkan selepas sesuatu konsert selesai, sebaliknya penilaian sewajarnya perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan persembahan yang dibenarkan tidak bercanggah dengan nilai yang dipegang masyarakat tempatan.
“Saya benar-benar berharap agar para asatizah, mufti dan pihak berautoriti agama tampil memberikan pandangan serta pencerahan. Jangan berdiam diri. Masyarakat memerlukan penjelasan dan panduan.
“Kita tidak mahu isu sebegini hanya diperkatakan selepas sesuatu konsert selesai. Bagaimana pula dengan konsert artis antarabangsa yang akan datang? Adakah kita akan terus membenarkan persembahan tanpa menilai kemungkinan unsur negatif yang dibawa?” katanya.
Pada masa sama, Nora menegaskan pendiriannya bukan bertujuan menolak hiburan atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya mahu industri hiburan bergerak seiring dengan tanggungjawab sosial serta nilai agama dan budaya masyarakat Malaysia.
“Malaysia mempunyai nilai agama, budaya dan adab yang perlu dipelihara. Saya bukan menolak hiburan. Saya cuma ingin melihat hiburan yang lebih bertanggungjawab, dengan garis panduan yang jelas dan penguatkuasaan yang berkesan.
“Ini bukan soal menghukum sesiapa, tetapi soal tanggungjawab bersama. Hiburan ada tempatnya. Tetapi prinsip, akhlak dan akidah jangan sesekali diketepikan,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, minggu lalu.











