PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memasang 197 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara bagi menjadi ‘mata’ dalam memantau situasi semasa sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Petra dalam satu kenyataan berkata, bagi menghadapi MTL 2026/2027 yang bermula pada 27 Oktober dan dijangka berakhir pada Mac 2027, perancangan awal, penyelarasan sumber dan kesiapsiagaan operasi menjadi keutamaan Petra bagi memastikan pengurusan risiko banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Katanya, Petra melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memperkukuh kesiapsiagaan operasi menerusi langkah-langkah iaitu ramalan dan amaran banjir dengan melaksanakan pemantauan operasi 24 jam sehari sepanjang tahun menggunakan model ramalan banjir di 36 lembangan sungai, disokong oleh 2,237 stesen hidrologi telemetri
yang merekodkan data hujan dan aras air sungai.
Tambahnya, sebanyak 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan telah dipasang di lokasi strategik seluruh negara bagi membantu pemantauan situasi semasa.
“Sebanyak 3,045 lokasi hotspot banjir dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini. Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi
sebanyak 609 lokasi, diikuti Pahang (572 lokasi) dan Terengganu (460 lokasi).
“Sebanyak 1,079 unit pintu kawalan air dan 285 buah rumah pam di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan siap siaga untuk operasi kawalan banjir,” katanya hari ini.
Selain itu, menurut Petra, sebanyak 580 unit pam kecemasan mudah alih pelbagai kapasiti sedia untuk digerakkan ke lokasi kritikal bagi mengurangkan risiko banjir.
Katanya, pemantauan rapi dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS, 781 kolam takungan banjir serta kerja-kerja penyelenggaraan di lembangan sungai berisiko tinggi.
“Kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi diteruskan bagi menyalurkan amaran banjir melalui SMS kepada penduduk di kawasan berisiko.
“Penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Negeri bagi menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air empangan untuk meningkatkan keupayaan takungan banjir sepanjang MTL,” katanya.
Katanya lagi, bagi mengurangkan risiko banjir, sebanyak 1,638 kerja-kerja kecil telah dilaksanakan bagi tahun ini dengan jumlah kos sebanyak RM652 juta.
“Selain itu, 342 projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13 telah diluluskan untuk pelaksanaan pada tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion,” katanya.
Berdasarkan rekod, sebanyak 799 kejadian banjir berlaku di seluruh negara sepanjang lMTL 2025/2026 mulai 13 November 2025 hingga 31 Mac lalu.
Kejadian banjir direkodkan pada MTL lalu berpunca daripada limpahan air sungai, masalah saliran dalaman dan air laut pasang.
Selain itu, ia turut disumbangkan oleh faktor setempat seperti longkang tersumbat, pembangunan yang tidak terkawal, pembukaan tanah dan isu pembuangan sampah.
Berdasarkan rekod, banjir yang berlaku melibatkan 480 kes banjir monsun; 274 kes banjir kilat; 25 kes banjir genang dan 20 kes banjir pantai. – UTUSAN











