Pemilik Bezza ditahan bantu siasatan nahas ragut nyawa suami isteri - Utusan Malaysia

Pemilik Bezza ditahan bantu siasatan nahas ragut nyawa suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun bagi membantu siasatan kemalangan maut di Kilometer 114.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara yang mengorbankan suami isteri, semalam.

Pemilik Perodua Bezza itu ditahan bagi membantu siasatan khususnya untuk menentukan sama ada dia memandu kenderaan itu atau berada sebagai penumpang ketika kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata berdasarkan maklumat awal, wanita itu dikatakan memberhentikan kenderaan sebelum bergerak semula selepas proses menukar pemandu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan maklumat awal, dia berhenti dan bergerak semula selepas menukar pemandu. Susulan itu, perkara berkenaan masih dalam siasatan awal dan kita akan mendapatkan keterangan lanjut.

“Kita sedang menyiasat untuk menentukan sama ada dia memandu atau menjadi penumpang. Ini kerana terdapat dua kemungkinan ketika proses menukar pemandu itu, sama ada dia sudah mula memandu atau belum. Jadi, penahanan perlu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Hanyan turut meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang menunjukkan atau merakam kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menyerahkan rakaman berkenaan kepada pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan seorang pesara polis dan isterinya maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bandar Utama, di sini.

Dalam kenyataan sebelum ini, Hanyan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Pasangan berkenaan dikenal pasti sebagai Suhaimi Saidin, 64, yang kira-kira empat tahun bersara daripada perkhidmatan polis dan isterinya, Normah Hashim, 60.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal, termasuk skuter jenis Yamaha XMAX yang dinaiki pasangan terbabit, merempuh Perodua Bezza yang dikatakan sedang bergerak dari lorong kecemasan ke lorong kiri selepas proses menukar pemandu.

Dalam kejadian sama, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 18 tahun yang menaiki sebuah lagi motosikal turut mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini