Sekat COD jika pembeli kerap gagal terima pesanan

Sekat COD jika pembeli kerap gagal terima pesanan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform e-dagang perlu mempertimbangkan sekatan bayaran tunai semasa penghantaran (COD) terhadap pembeli yang berulang kali gagal menerima pesanan tanpa alasan munasabah.

Langkah itu bertujuan melindungi peniaga daripada menanggung kos menghantar barangan kepada pembeli dan membawa barangan itu pulang apabila pesanan gagal diserahkan.

Menurut Pengerusi Malaysian E-Commerce Entrepreneurs Association (MECA), Syed Gaddafi Syed Saifuddin, platform e-dagang perlu mempunyai sistem untuk mengenal pasti pembeli yang berulang kali membuat pesanan COD tetapi gagal menerimanya tanpa alasan munasabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sekiranya kemudahan COD disekat, platform perlu menyediakan mekanisme rayuan yang adil supaya pembeli berpeluang menjelaskan sebab mereka tidak dapat menerima pesanan.

Katanya, hak pengguna untuk menolak barangan yang rosak, tidak menepati pesanan atau tidak dihantar mengikut terma yang dipersetujui mesti terus dilindungi.

Syed Gaddafi berkata, MECA secara prinsipnya menyokong cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperjelas tanggungjawab pembeli dalam transaksi COD menerusi Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang.

Bagaimanapun, katanya, platform yang menguruskan sistem pesanan, polisi pembatalan dan proses pemulangan juga perlu memikul tanggungjawab yang jelas.

“MECA mahu melihat satu mekanisme yang adil, di mana pihak yang menyebabkan kegagalan transaksi perlu bertanggungjawab terhadap kos yang munasabah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Syed Gaddafi berkata, apabila pembeli membatalkan pesanan pada saat akhir atau enggan menerima barangan tanpa alasan munasabah, peniaga terpaksa menanggung kos penghantaran, pemulangan dan pembungkusan.

Sebagai contoh, beliau berkata, jika 100 pesanan gagal dihantar dengan kos penghantaran dan pemulangan sebanyak RM15 bagi setiap pesanan, peniaga perlu menanggung RM1,500 dalam kos logistik sahaja.

“Kerugian berulang boleh menjejaskan aliran tunai peniaga kecil yang mempunyai margin keuntungan rendah.

“Oleh itu, kerajaan perlu mendapatkan data daripada platform e-dagang dan syarikat logistik bagi mengukur skala masalah itu dengan lebih tepat,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Gaddafi berkata, kemudahan COD wajar dikekalkan kerana penghapusannya boleh mengehadkan pilihan pembayaran pengguna dan menjejaskan peluang jualan peniaga kecil.

“COD wajar dikekalkan kerana masih relevan bagi pengguna yang lebih selesa membayar secara tunai atau mahu memastikan barangan dihantar sebelum membuat bayaran.

“Namun, perlu ada pengesahan pesanan yang lebih ketat bagi transaksi COD berisiko tinggi serta saluran penyelesaian pertikaian yang mudah untuk peniaga dan pengguna mengemukakan bukti masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini