MELAKA: Manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dilancarkan semalam disifatkan sebagai bersasar serta realistik untuk dilaksanakan, sekali gus mampu memenuhi keperluan rakyat Melaka daripada bayi hingga warga emas.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar dokumen pilihan raya, sebaliknya dirangka hasil kerjasama strategik kedua-dua gabungan.
Menurut beliau, PN telah menghantar empat atau lima pakar strateginya untuk bersama-sama pasukan BN merangka kandungan manifesto sebelum ia dimuktamadkan dan dilancarkan.
“Sebagaimana yang disebut Pengarah Pilihan Raya Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh manifesto ini dihasilkan daripada dua gabungan para strategis daripada PN dan BN.
“Kami menghantar empat atau lima orang pakar strategis kami dan bersama dengan BN, sehinggalah dihasilkan satu manifesto yang dilancarkan pada hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto BN dan PN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.
Takiyuddin berkata, PN berpuas hati dengan manifesto berkenaan kerana kandungannya disusun secara bersasar dan mengambil kira kemampuan kerajaan untuk melaksanakan setiap janji yang dibuat.
Katanya, keyakinan itu turut bersandarkan rekod pencapaian kerajaan negeri yang didakwa berjaya melaksanakan sebahagian besar janji dalam pilihan raya lalu.
“Kita nampak manifesto ini adalah manifesto yang bersasar dan kita yakin ia akan dapat dicapai dengan rekod yang ada kepada kepimpinan Kerajaan Melaka sebelum ini, manifesto yang lepas pun telah dicapai lebih daripada 90 peratus, 97 peratus,” katanya. – UTUSAN











