Iran didakwa pindah kemudahan tentera ke bawah tanah

Iran didakwa pindah kemudahan tentera ke bawah tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dilaporkan giat membina dan membaik pulih sekurang-kurangnya dua tapak peluru berpandu utama serta 12 pangkalan tentera lain yang sebelum ini menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Siasatan BBC berdasarkan imej satelit mendapati kerja penggalian dan pembinaan sedang dijalankan di pangkalan Garmdareh dan Shahroud, menurut analisis syarikat perisikan British, MAIAR.

Kerja pembaikan turut dikesan di beberapa lokasi lain, termasuk pemasangan bumbung baharu pada bangunan di pangkalan peluru berpandu Kermanshah, di barat Iran berhampiran sempadan Iraq.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di kompleks ketenteraan Parchin, timur Teheran, kerja membersihkan runtuhan turut dikenal pasti. Semua lokasi berkenaan pernah terjejas akibat serangan ketenteraan AS dan Israel sepanjang tahun lalu.

Penganalisis MAIAR turut mengesan kerja-kerja di pintu masuk terowong berhampiran kompleks pengayaan uranium bawah tanah Fordow, dekat bandar Qom, yang berulang kali menjadi sasaran serangan kedua-dua negara.

Bekas penganalisis Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jim Lamson, berkata kerja penggalian di Shahroud mungkin berkaitan dengan aktiviti pengeluaran peluru berpandu.

Beliau memberitahu BBC, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkemungkinan memindahkan kemudahan pengeluaran ke bawah tanah bagi melindunginya daripada kemungkinan serangan baharu AS dan Israel.

Seorang penganalisis MAIAR berkata, Iran menunjukkan corak memindahkan kemudahan ketenteraannya ke bawah tanah bagi melindunginya daripada serangan susulan.

Anggaran Pentagon menunjukkan AS dan Israel memusnahkan sehingga 90 peratus pangkalan industri dron, peluru berpandu balistik dan tentera laut Iran, selain melemahkan keupayaan negara itu untuk melancarkan serangan balas dengan ketara.

Bagaimanapun, bekas Ketua Angkatan Tentera Ireland, Mark Mellett, memberitahu BBC strategi Iran yang semakin giat memindahkan pengeluaran peluru berpandu ke bawah tanah menyukarkan pihak luar menilai skala serta tahap kesiapsiagaan operasinya.

Iran sebelum ini menyatakan negara itu masih mempunyai simpanan senjata yang besar untuk menyerang Israel, pasukan tentera AS dan sekutu serantau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini