ALOR GAJAH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertahankan keputusan parti memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan atas dasar memperjuangkan kepentingan rakyat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama itu bertujuan memastikan masalah rakyat mendapat perhatian termasuk membolehkan wakil rakyat Bersatu menerima peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan masing-masing.
Menurutnya, tindakan itu tidak sepatutnya dipersoalkan kerana perjanjian dibuat untuk kebaikan, bukannya kepentingan peribadi.
“Jadi sebab itu bila kita dah runding, dah setuju kita tandatangan, ada pula orang panggil CSA ini macam kita dajal.
“Presiden Pas kata saya tandatangan ini kita dajal. Saya pun anak tok guru juga, saya tak pernah dengar perkara itu.
“Apa hukum kita tandatangan itu? Haram? Kalau dia (CSA) tak haram, dikatakan harus ataupun mungkin sunat kerana ia satu usaha untuk memperbaiki, memperjuangkan nasib orang, apa salahnya?,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini hari ini.
Sebelum ini, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden Pas bertajuk ‘Tempis Dajjal Sudah Tiba’ mendakwa CSA menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua tetapi memaksa untuk terus berkuasa.
Abdul Hadi berkata, walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana dajal yang besar tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat dajal.
Muhyiddin berkata, beliau tidak memahami tindakan melabelkan kerjasama berkenaan sedemikian sedangkan tujuannya adalah untuk membantu rakyat.
Katanya, peruntukan yang bakal diterima wakil rakyat Bersatu bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya bagi melaksanakan projek tertentu mengikut peraturan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Bukan dapat duit masuk poket wakil rakyat, itu bantuan untuk melaksanakan projek-projek tertentu yang ikut peraturan daripada ICU.
“Dia tak boleh memandai-mandai saja, nak belanja buat itu buat ini tak boleh, ada peraturan-peraturan tertentu,” katanya.
Katanya, beliau kesal dengan penggunaan label yang disifatkannya tidak wajar terhadap usaha kerjasama bagi kepentingan rakyat.
“Saya nak cakap ini bukan apa, geram juga dalam hati saya, saya dipanggil dajal. Tak ada, kami orang Islam, tak ada melakukan kesalahan.
“Soal memeterai kerjasama untuk tujuan kebaikan itu adalah perkara yang memang digalakkan. Dan jangan berikan label-label yang pelik-pelik,” katanya. – UTUSAN











