Diminta tanggalkan tudung, Noor Kumalasari tidak gelap mata wang RM100,000 - Utusan Malaysia

Diminta tanggalkan tudung, Noor Kumalasari tidak gelap mata wang RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KELANG: Pelakon veteran, Noor Kumalasari, tidak tergugat dengan tawaran bayaran lumayan melebihi RM100,000 apabila diminta menanggalkan hijab demi membintangi sebuah siri televisyen.

Sebaliknya, Noor, 70, yang ketika itu sudah berhijab, nekad menolak tawaran berkenaan kerana tidak sanggup menggadaikan prinsip dan pegangan hidup hanya kerana wang ringgit.

“Saya pernah menerima tawaran besar untuk membintangi sebuah siri televisyen dengan bayaran lebih RM100,000, namun terpaksa menolaknya kerana diminta membuka tudung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak produksi memberitahu mereka mahukan saya tanpa hijab, tetapi saya tetap dengan pendirian. Saya tidak sanggup membuka tudung demi apa-apa tawaran kerana percaya rezeki datang daripada Allah,” katanya.

Noor berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, baru-baru ini.

Menurut Noor, situasi sama turut dihadapi seorang pelakon wanita muda yang mendapatkan pandangannya selepas menerima tawaran lakonan dengan syarat serupa.

“ Saya pernah bertemu seorang pelakon wanita muda yang baru berhijab dan meminta pandangan saya mengenai perkara sama. Saya menasihatinya supaya membuat keputusan sendiri kerana setiap orang mempunyai pendirian masing-masing.

“Bagi saya, apabila seseorang sudah memilih untuk berhijab dan semakin mendekatkan diri kepada Allah, dia perlu fikir sama ada sanggup mengorbankan prinsip tersebut demi wang.

“Pelakon muda itu akhirnya turut membuat keputusan sama meskipun terpaksa melepaskan watak berkenaan. Sekurang-kurangnya, dia berpuas hati dengan keputusan itu kerana wang bukanlah segala-galanya dan hubungan dengan Allah jauh lebih penting,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya seni, adik kepada penyanyi Anita Sarawak itu mengakui sudah tidak mempunyai keinginan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan meskipun masih menerima tawaran.

“Masih ramai yang menawarkan watak kepada saya sehingga sekarang. Bagaimanapun, ada antara tawaran tersebut yang hanya memerlukan penggambaran selama dua atau tiga hari sahaja.

“Saya menganggap jika Allah sudah menutup pintu rezeki saya dalam bidang lakonan, saya reda dengan ketentuan itu. Saya tidak mempunyai keinginan untuk kembali aktif berlakon, namun masih mengikuti drama televisyen dan menonton filem-filem lama,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini