Ekonomi Islam membina keadilan sosial

Ekonomi Islam membina keadilan sosial

EKONOMI Islam perlu diamalkan oleh setiap individu bagi mengurangkan jurang kekayaan, membasmi penindasan dan membina masyarakat yang lebih adil serta bersaudara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUATU sistem ekonomi itu memerlukan penerimaan oleh masyarakat di sekelilingnya, khususnya di peringkat individu. Ini disebabkan sistem itu akan menentukan bagaimana pembayaran dibuat, serta bagaimana terma perniagaan, perhutangan dan penyelesaiannya dilaksanakan antara dua pihak, sama ada individu atau syarikat korporat.

Sekian lama sistem ekonomi di dunia ini berpaksikan kepada sistem kapitalis atau sistem komunis, walaupun sistem komunis telah berkurangan dan sistem pasaran menggantikannya.

Sistem pasaran berkembang setelah China dan Russia menjadi terbuka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sistem Barat atau kapitalis meletakkan peranan pemilikan modal swasta dan pembayaran riba ke atas setiap pinjaman dan tabungan. Ini menyebabkan masyarakat mengumpul modal serta memberi pinjaman modal kepada pihak peniaga dan pengguna.

Riba atau faedah, dahulunya dikatakan ‘bunga’, diberi kepada tabungan dan juga dikenakan ke atas segala pinjaman.

Kadar riba ini diasaskan kepada pasaran modal atau jumlah permintaan modal dan penawarannya. Bukan itu sahaja, kadar riba atau faedah juga dilandaskan kepada kedudukan risiko dalam negara itu.

Kalau negara itu berisiko tinggi, kenaan riba itu tinggi berbanding dengan negara yang dijangka stabil dan kukuh, dan dari itu risikonya rendah.

Dalam perbualan mengenai sukuk misalnya, maka pengurus terbitan sukuk akan menggunakan istilah spread atau basis points above the USTreasuries. Ini bermakna kadar pulangan itu melebihi kadar hasil bon Amerika Syarikat (AS) sebanyak beberapa mata asas.

Lagi tinggi risiko sesebuah negara, maka lebih luaslah spread bagi sukuk atau bon itu bagi memastikan pelabur mendapat pulangan yang lebih tinggi sebagai pampasan terhadap risiko yang ditanggung.

Berbalik kepada isu peranan seseorang dalam mempraktikkan ekonomi Islam, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan dalam pembangunan sistem perbankan Islam seperti Bank Islam Malaysia dan Bank Muamalat serta bahagian perbankan Islam dalam bank-bank komersial yang lain.

Selain itu, negara juga mewujudkan takaful atau insurans Islam dan kedai-kedai Ar-Rahnu (pajak gadai) untuk tujuan modal operasi jangka pendek bagi keperluan peniaga-peniaga dan industri kecil.

Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, maka orang Islam tidak sepatutnya menggunakan pinjaman yang berasaskan sistem riba atau faedah.

Begitu juga dalam hal pinjaman jangka panjang, 10 hingga 20 tahun, maka sistem pembiayaan sukuk atau bon Islam boleh diterokai atau digunakan untuk membiayai industri dan perniagaan besar-besaran.

Tidak ada sebab orang Islam menggunakan cara lain yang berasaskan interest atau riba.

Perekonomian Islam memupuk persaudaraan atau ukhuwah secara langsung dan tidak langsung juga. Ayat 215 daripada Surah al-Baqarah jelas meminta kita semua berinfak atau bersedekah kepada ibu bapa, saudara-mara, orang-orang miskin, anak yatim dan pengembara yang kesusahan.

EKONOMI ISLAM PUPUK UKHUWAH, KEADILAN SOSIAL

Dalam era yang sangat individualistik masa ini, perasaan persaudaraan sangat tercabar dan al-Quran meletakkan peri mustahaknya unsur ukhuwah ini.

Tambahan pula, perekonomian Islam boleh mengurangkan perbezaan ekonomi dalam masyarakat dengan menggalakkan kita membantu orang miskin dan fakir bukan sahaja menerusi institusi zakat tetapi lebih daripada itu, melalui infak atau sedekah secara rela hati. Ini akan mengurangkan iri hati dan rasa cemburu dalam kalangan masyarakat.

Banyak pergeseran sosial adalah disebabkan oleh ketidaksamarataan sosial.

Ekonomi Islam juga mengurangkan sifat tamak dan haloba dalam penguasaan aset, penggunaan dan pengurusan kekayaan dan pendapatan kita.

Kita diberikan panduan oleh Allah SWT pada penghujung ayat 219 dalam Surah al-Baqarah supaya menginfakkan lebihan harta yang ada setelah memenuhi keperluan kita.

Semestinyalah keperluan itu kurang daripada kemahuan. Ini bererti yang lebih itu boleh diinfakkan untuk memberi faedah kepada yang lebih memerlukan.

Secara langsung, agama Islam menanamkan bibit mengurangkan perbezaan ekonomi, menggalakkan persaudaraan dan lagi pentingnya ialah sistem ini meningkatkan ‘putaran wang’ dan juga kadar perbelanjaan.

Kesannya ialah positif kepada negara kerana lebih banyak permintaan barangan dan perkhidmatan dijana, di samping meningkatkan jumlah peluang pekerjaan melalui kesan pengganda.

Tambahan pula, kita tahu daripada teori ekonomi bahawa orang miskin dan yang berpendapatan rendah mempunyai kecenderungan berbelanja yang lebih tinggi.

Hakikat ini menyokong kenyataan di perenggan di atas, iaitu perekonomian Islam berupaya memesatkan pertumbuhan ekonomi di samping memungkinkan kestabilan sosial.

Keadaan ini berbeza dengan sistem kapitalis yang menggalakkan orang ramai mengumpul tabungan, pendapatan dan harta menerusi riba tetapi tidak semestinya membantu mencapai matlamat mengurangkan kemiskinan dan perbezaan ekonomi antara kelas penduduk, antara kaum dan antara wilayah.

Apatah lagi hendak memupuk persaudaraan dalam masyarakat, ‘jauh panggang dari api’.

Inilah perlunya kita meneliti kefahaman terhadap ekonomi Islam secara total dan berusaha menerapkannya dalam sistem kehidupan kita sehari-hari di peringkat individu Muslim mahupun di peringkat masyarakat.

Kalau diteliti secara mendalam prinsip Islam di atas dan jika kita tambahkan dengan sistem zakat yang merupakan satu kewajipan, maka sistem Islam sudah cukup untuk mengatasi masalah masyarakat yang berlarutan daripada kewujudan kemiskinan, perbezaan ekonomi serta sifat tamak haloba dalam mengumpulkan kekayaan dalam kalangan masyarakat.

Pengharaman riba boleh menyebabkan masyarakat Islam tidak terdedah dan terjebak kepada penindasan oleh sesuatu kumpulan dalam masyarakat yang mempunyai jumlah modal yang terbanyak.

Tambahan pula, Islam menggalakkan institusi wakaf, iaitu suatu pemberian kepada masyarakat untuk tujuan penggunaan oleh masyarakat amnya.

Atas prinsip yang sama, dunia Barat juga menggunakan endowments yang sama dengan wakaf untuk faedah umum dalam bidang-bidang seperti pendidikan dan kesihatan.

Keterangan di atas memberi kita sebab mengapa kita sebagai individu Muslim perlu menggunakan sistem ekonomi Islam sedaya upaya dalam masyarakat kita agar masalah-masalah yang menghantui kestabilan sosial dalam masyarakat seperti penidasan dan perbezaan ekonomi yang ketara dapat dikurangkan atau dibasmi akhirnya.-UTUSAN

 

TAN Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini