BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan memberikan pembebasan awal kepada 58 banduan sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, daripada jumlah itu, tiga merupakan banduan wanita manakala selebihnya lelaki berusia 28 hingga 64 tahun.
Katanya, kesemua banduan berkenaan menjalani hukuman di enam institusi penjara iaitu Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional Batu Gajah, Penjara Taiping, Penjara Seberang Perai dan sebuah penjara di Negeri Sembilan.
“Seramai 58 banduan diberikan pengampunan oleh Sultan Perak sekali gus membolehkan mereka dibebaskan lebih awal daripada tarikh tamat hukuman penjara yang sepatutnya.
“Kesemua mereka ini melakukan kesalahan di Perak namun ditempatkan di beberapa penjara di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 37 banduan dibebaskan dalam majlis pada pagi ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.
Terdahulu, Rosoman mengiringi Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin yang mewakili Sultan Nazrin bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan makanan tengah hari kepada prospek sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-70 Sultan Perak.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, S. Tanabal Socklingam.
Selain Pusat Koreksional Batu Gajah, Sultan Nazrin turut berkenan menaja makanan tengah hari kepada penghuni di enam institusi lain iaitu Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar dan Rumah Perantaraan Perak.
Secara keseluruhan, sumbangan berkenaan membabitkan seramai 8,960 banduan dan tahanan di seluruh negeri.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemilihan banduan untuk mendapat pembebasan awal itu dibuat menerusi kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan kerajaan negeri Perak dan pihak berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dan peguam kanan negeri.
Katanya, senarai nama calon akan dikemukakan untuk pertimbangan sebelum pemilihan dibuat untuk dipersembahkan kepada Lembaga Pengampunan bagi mendapat perkenan.
“Banduan yang terpilih terdiri daripada pelbagai kategori kesalahan termasuk kesalahan dadah dan jenayah lain.
“Pertimbangan turut diberikan kepada golongan rentan seperti banduan berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan serta tidak sesuai lagi berada dalam penjara,” katanya.
Tambah beliau, pembebasan awal itu memberi peluang kepada banduan berkenaan untuk kembali bersama keluarga selain meneruskan program pemulihan di luar tembok penjara. – UTUSAN











