ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer memberi jaminan akan menjadikan penyelesaian isu banjir kilat sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat oleh pengundi.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, sepanjang tempoh hampir lima tahun menjadi wakil rakyat, beliau telah menyelesaikan kira-kira 80 peratus masalah banjir di DUN Ayer Limau.
Menurutnya, pelbagai pendekatan dan projek menaik taraf sistem perparitan serta saliran telah dilaksanakan secara berperingkat bagi menangani masalah yang sekian lama membelenggu penduduk.
Katanya, masalah banjir merupakan antara isu terbesar yang diberi perhatian sebaik sahaja beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan pada 2021.
“Kalau kita lihat, isu paling utama di Ayer Limau sebelum ini adalah banjir. Sebulan selepas saya menjadi wakil rakyat pada 2021, berlaku banjir besar yang melibatkan lebih 600 rumah.
“Jadi kita mengambil pendekatan sedikit demi sedikit untuk menyelesaikan masalah ini dan saya boleh katakan hampir 80 peratus isu banjir di Ayer Limau telah selesai.
“Jika penduduk di Ayer Limau memberi mandat kepada saya buat penggal kedua 14 November ini saya beri jaminan baki 20 peratus banjir di daerah ini akan diselesaikan,” katanya ketika ditemui semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Ayer Limau di sini semalam.
Hameed berkata, untuk keseluruhan tempoh empat tahun ini, beliau berjaya menangani isu banjir melibatkan peruntukan mencecah antara RM6 juta hingga RM7 juta melalui pelbagai projek dan kerja baik pulih.
Beliau menambah, antara usaha yang dilaksanakan termasuk menaik taraf pembetung di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi punca aliran air tersekat sehingga menyebabkan kawasan perkampungan dinaiki air.
Katanya, daripada kira-kira 14 culvert yang dikenal pasti di kawasan tertentu, sebanyak 11 telah dinaik taraf kepada saiz lebih besar manakala beberapa lagi sedang dalam proses pembinaan.
“Kami dapati apabila air datang dengan kapasiti tinggi, ia tersangkut di kawasan culvert yang kecil. Sebab itu kami mengambil formula untuk membesarkan laluan air ini.
“Jika kaedah ini masih belum dapat menyelesaikan keseluruhan masalah, kami perlu melihat pilihan lain termasuk pengambilan tanah bagi membolehkan kerja pelebaran tali air dilakukan,” katanya.
Hameed berkata, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan membina kolam takungan bagi menampung jumlah air yang semakin meningkat ketika hujan lebat. -UTUSAN











