Memuatkan artikel berkaitan…
PETALING JAYA: Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, memaklumkan dia amat berhati-hati sebelum menulis atau meninggalkan komen dan perkongsian di media sosial.
Pelakon drama Dua Nyawa itu berkata, dia sedar perkara itu akan memakan diri jika dibuat mengikut emosi.
“Digital Foot Print ini sangat bahaya dan jika tersilap langkah, maka akan memakan tuannya kelak.
“Jadi selain menjaga sikap dalam kehidupan sebenar, saya juga menjaga tindak tanduk saya ketika menggunakan media sosial,” katanya
Zarif juga menasihatkan semua pihak supaya berpada-pada meminati seseorang artis, baik pelakon mahupun penyanyi.
“Belum ada peminat saya yang melampaui batas. Kalau ada, saya akan minta agar mereka hormati ruang privasi saya,” katanya pada sidang media drama tersebut, di Pavilion Damansara Heights, di sini.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Zarif Farahi Effie Ghazzi itu dalam pada itu bersyukur kerana peminatnya setakat ini tidak bersikap fanatik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikelilingi orang-orang baik dan peminat yang memahami dan menghormati saya.
“Saya berterima kasih kepada peminat yang memahami dan menghormati perkara itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zarif memaklumkan dia menyerahkan sepenuhnya tugas menjaga keselamatan dirinya kepada pengurusan sementara dia memberi tumpuan kepada kerja hakiki iaitu lakonan.
“Saya serahkan kepada pihak pengurusan, sama ada mahu melantik pengawal keselamatan atau tidak.
“Saya mahu fokus pada kerja (lakonan), dunia selebriti, biarlah yang lebih arif menguruskan perkara itu,” kongsinya.











