Pelakon, Aniq Durar menyifatkan filem sebagai medium yang berkesan untuk menyampaikan mesej dan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya menerusi naskhah yang mengangkat sesebuh isu seperti pemuliharaan marin serta kehidupan golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, filem mempunyai kelebihan tersendiri berbanding iklan biasa kerana jalan cerita yang lebih panjang membolehkan penonton mengenali watak, memahami perjalanan hidup mereka dan membina hubungan emosi dengan kisah yang dipaparkan.
“Bagi saya, filem merupakan platform yang baik kerana iklan biasanya mempunyai tempoh yang singkat. Filem pula mempunyai jalan cerita tersendiri.
“Jadi, penonton dapat mengenali watak-watak dalam cerita tersebut dan membina hubungan emosi dengan mereka. Dengan cara itu, penonton juga dapat lebih memahami dan menghayati cerita yang dipaparkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi mengenai penglibatannya dalam filem The Last Dive, Aniq mengakui naskhah berkenaan membawa tema yang agak khusus memandangkan penonton tempatan lebih sinonim dengan filem bergenre seram dan aksi.
Bagaimanapun, dia berpendapat industri perfileman tempatan perlu terus mempelbagaikan genre dan cerita yang ditawarkan kepada penonton bagi membuka ruang kepada perspektif serta pengalaman baharu.
“Kita perlu mempelbagaikan cerita yang ditayangkan di pawagam. Kita mahu mengembangkan perspektif penonton. Kita mahu mereka tahu bahawa terdapat pelbagai jenis cerita selain filem seram dan aksi,” ujarnya.

Jelas Aniq, meskipun The Last Dive turut mempunyai elemen aksi, fokus utama filem berkenaan bukanlah pada babak sedemikian, sebaliknya lebih tertumpu kepada perjuangan golongan OKU dalam mengharungi kehidupan serta mesej berkaitan pemuliharaan lautan dan alam sekitar.
Malah, pelakon berasal dari Sarawak ini menyifatkan kisah seperti itu penting untuk diketengahkan kerana masih kurang mendapat perhatian dalam karya tempatan.
“Perkara ini sangat penting kerana kisah seperti ini jarang dipaparkan. Saya rasa filem ini bagus untuk ditonton supaya masyarakat dapat memahami cabaran dan kesukaran yang dilalui oleh golongan OKU. Aktiviti menyelam juga memberikan mereka peluang untuk merasai kebebasan semula,” katanya.
Dalam pada itu, Aniq turut berkongsi pengalamannya berinteraksi dengan pelakon OKU yang terlibat dalam filem berkenaan, termasuk penyelam OKU, Bella,Joey dan Datuk Ras Adiba Radzi.
Menurutnya, perkongsian pengalaman mereka membuka peluang untuk memahami kehidupan golongan OKU dengan lebih dekat, sekali gus membantunya mendalami watak yang memerlukan pemahaman dari segi emosi dan fizikal.
Mengakui bukan mudah untuk memahami sepenuhnya cabaran yang dilalui golongan berkenaan, Aniq berkata dia mengambil inisiatif melakukan kajian serta berbincang dengan individu berpengalaman bagi memastikan watak yang dibawakan dapat diterjemahkan dengan sebaik mungkin.
“Dari segi emosi, memang agak sukar kerana kita sebagai individu yang sempurna anggota badan tidak akan dapat memahami sepenuhnya pengalaman dan cabaran yang mereka lalui.
“Saya sudah cuba memberikan yang terbaik. Saya berbincang dengan orang lain dan membuat kajian untuk memahami watak tersebut,” katanya.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah teknik pergerakan dan cara golongan OKU menjalankan aktiviti menyelam, khususnya bagi individu yang kehilangan anggota badan.
Aniq berkata, dia turut mendapatkan maklumat daripada individu berpengalaman mengenai teknik alternatif yang digunakan ketika menyelam, termasuk penggunaan tangan bagi mereka yang kehilangan kaki.
“Mereka beritahu saya bahawa mereka boleh menggunakan tangan kerana kebiasaannya aktiviti menyelam tidak banyak menggunakan tangan. Tetapi bagi golongan OKU yang kehilangan kaki, mereka boleh menggunakan tangan sebagai alternatif. Jadi, terdapat pelbagai kaedah dan teknik yang berbeza,” katanya.
Bagi memastikan pergerakan wataknya kelihatan lebih semula jadi, Aniq turut membuat rujukan menerusi video di YouTube mengenai cara individu yang kehilangan kaki berjalan, selain mendapatkan pandangan doktor prostetik.
Menurutnya, perkembangan teknologi prostetik masa kini membolehkan individu yang kehilangan anggota badan bergerak dengan lebih normal berbanding dahulu.
“Saya membuat kajian melalui YouTube tentang cara individu yang kehilangan kaki berjalan. Saya juga berjumpa dengan doktor prostetik dan bertanya bagaimana mereka berjalan. Kebiasaannya, mereka akan berjalan sedikit tempang.
“Namun, dengan teknologi pada masa kini, mereka sebenarnya sudah boleh berjalan dengan lebih normal. Teknologi untuk membantu pergerakan mereka juga semakin baik,” katanya.
Mengulas pengalaman menjalani penggambaran babak selaman, Aniq memberitahu keseluruhan babak berkenaan mengambil masa kira-kira seminggu untuk diselesaikan.
Bagaimanapun, proses merakam satu babak sahaja boleh mengambil masa beberapa jam berikutan keperluan mencari lokasi bersesuaian serta cabaran melaksanakan arahan penggambaran ketika berada di dalam air.
Selain Aniq, filem ini turut dibintangi Shiqin Kamal, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim.
Turut serta ikon OKU Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi serta penyanyi terkenal, Fauziah Latiff.











