Pembinaan semula kemudahan kesihatan Gaza tergendala

Pembinaan semula kemudahan kesihatan Gaza tergendala

HAMPIR keseluruhan bangunan musnah akibat serangan Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha bagi membina semula kemudahan kesihatan di Gaza masih tergendala berikutan kekangan membawa masuk bahan binaan dan jentera berat ke wilayah itu.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Fouad Alqdra berkata, sekatan kemasukan bahan binaan, jentera berat dan bahan api menyebabkan kerja membaik pulih infrastruktur kesihatan yang rosak termasuk 20 buah hospital sukar dilaksanakan.

Menurutnya, keadaan itu turut diburukkan dengan kewujudan bahan letupan yang belum meletup di kawasan runtuhan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada petugas yang menjalankan kerja pembersihan dan pembinaan semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembinaan semula memerlukan persekitaran yang selamat serta jaminan bahawa penduduk tidak akan dipindahkan secara paksa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, usaha pemulihan Gaza juga perlu merangkumi sekolah, sistem bekalan air dan elektrik yang terjejas akibat konflik.

“Kerja pembersihan runtuhan, penyediaan kemudahan asas serta pemulihan infrastruktur memerlukan sokongan kewangan, kepakaran teknikal dan kerjasama masyarakat antarabangsa.

“Malaysia juga boleh memainkan peranan menerusi sumbangan kewangan, kepakaran teknikal dan perkongsian pengetahuan bagi menyokong usaha pemulihan serta pembinaan semula Gaza,” katanya.

Sementara itu, Jehad berkata, Kerajaan Palestin telah menubuhkan Jawatankuasa Bantuan Presiden di bawah Pejabat Presiden bagi menyelaras sumbangan kewangan antarabangsa untuk memenuhi keperluan kemanusiaan rakyat Gaza.

Katanya, jawatankuasa itu membolehkan kerajaan dan rakan antarabangsa menyalurkan sumbangan terus ke akaun yang ditetapkan.

Menurutnya, sumbangan yang diterima akan digunakan bagi membeli bekalan keperluan penduduk Gaza dan disalurkan menerusi saluran penghantaran yang tersedia.

“Jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah Pejabat Presiden bagi menyelaras bantuan dan sumbangan daripada kerajaan serta rakan antarabangsa.

“Laporan kewangan juga akan disediakan kepada pihak penderma bagi memastikan penggunaan dana dapat dipantau,” katanya.

Beliau berkata, bantuan berkenaan diperlukan bagi memastikan keperluan asas penduduk Gaza terus dipenuhi, terutama ketika penghantaran bekalan ke wilayah itu masih berdepan pelbagai kekangan.

“Antara keperluan mendesak ketika ini termasuk makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, bahan api dan bahan perlindungan bagi menghadapi musim sejuk,” katanya.

Jehad berkata, bantuan kewangan juga dapat menyokong usaha pemulihan awal termasuk membaik pulih sekolah, hospital, kemudahan air dan bekalan elektrik, selain kerja pembersihan runtuhan serta latihan kemahiran.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan antarabangsa, termasuk dari Malaysia bagi membantu memenuhi keperluan rakyat Palestin.

“Kerjasama itu boleh diperluas menerusi sumbangan kewangan, kepakaran teknikal dan perkongsian pengetahuan bagi menyokong usaha pemulihan serta pembinaan semula Gaza,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini