10 menanti kehadiran cahaya mata tidak pernah mematahkan semangat Mohd Shafiz Hisham Mansoruddin dan isterinya, Siti Khalijah Ishak untuk mendapatkan zuriat. Berbekalkan kesabaran, doa dan usaha berterusan, impian mereka akhirnya menjadi kenyataan menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Keinginan mendapatkan zuriat mula timbul selepas tiga tahun berkahwin sebelum pasangan itu menjalani pemeriksaan kesuburan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai masalah kesuburan serius, namun tahap kesuburan sperma Mohd Shafiz Hisham, 39, agak rendah.
Lelaki yang bertugas sebagai polis pengiring kepada Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu mengakui tabiat merokok dan tekanan kerja mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah berkenaan.
Ketika merancang menjalani rawatan IVF, mereka menerima berita menggembirakan apabila Tuanku Permaisuri Agong berkenan menawarkan rawatan kesuburan kepada kakitangan Istana Negara yang belum dikurniakan cahaya mata.
“Tuanku bertanya kepada kakitangan siapa yang masih belum ada rezeki mendapatkan anak dan menawarkan peluang menjalani rawatan IVF. Saya dan isteri merupakan antara 14 pasangan yang menerima kurniaan rawatan di bawah Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF),” katanya.
Pasangan itu ditemui pada majlis ‘A Record in Science. A Celebration of Life Mark this Milestone’ anjuran Alpha IVF Group, baru-baru ini.
Namun, perjalanan mereka tidak mudah apabila Siti Khalijah, 39, yang bekerja sebagai pelukis pelan di Jabatan Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengalami ketumbuhan atau sista pada rahim dan perlu menjalani rawatan sebelum memulakan IVF.
Menurutnya, mereka menjalani tiga percubaan IVF di Alpha IVF bermula 2020. Percubaan pertama gagal, manakala percubaan kedua berjaya menghasilkan kehamilan. Namun, embrio gagal berkembang dengan baik dan kehamilan terpaksa ditamatkan atas nasihat doktor.
Pandemik Covid-19 kemudiannya menyebabkan rawatan terhenti sementara. Apabila keadaan kembali pulih pada 2022, mereka mencuba sekali lagi. Kali ini, Siti Khalijah memilih untuk tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana bimbang kecewa sekiranya gagal.
Akhirnya, doa mereka dimakbulkan apabila kehamilan ketiga berkembang dengan baik. Walaupun satu daripada dua embrio yang dipindahkan tidak berjaya bertahan, satu lagi terus berkembang sehingga pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Mikail Raziqin, yang kini berusia empat tahun dan membesar dengan sihat.
Daripada 14 pasangan yang menerima rawatan IVF di bawah TAFF, lapan pasangan berjaya memperoleh zuriat, termasuk dua pasangan yang dikurniakan anak kembar.
Mohd Shafiz Hisham Mansoruddin menyatakan, lelaki sebaiknya membuang ego dan bersikap terbuka untuk menjalani rawatan IVF selain tidak hanya membiarkan isteri sahaja yang bersusah payah berusaha mendapatkan cahaya mata.
Dikurniakan anak unik, berbakat
Bagi Mohd Zaid Mohamed Zainal Abidin, 47, dan isterinya, Norida Md. Jani, 46, penantian enam tahun untuk mendapatkan zuriat akhirnya berakhir dengan kelahiran Muhammad Emran Zidane menerusi rawatan IVF pada 2014.

Walaupun anak mereka yang kini berusia 11 tahun disahkan mengalami autisme ringan, pasangan itu tetap bersyukur kerana dikurniakan anak yang mempunyai bakat istimewa dalam bidang seni kreatif.
Menurut Norida, minat anaknya terhadap seni terserlah sejak berusia lima tahun apabila gemar menghasilkan pelbagai objek mini menggunakan tanah liat atau clay.
“Ke mana-mana sahaja pergi, dia pasti membawa kotak berisi bahan seni kesayangannya,” katanya.
Muhammad Emran Zidane dikesan mengalami autisme ringan ketika berusia empat tahun selepas ibu bapanya menyedari kelewatan pertuturan. Ketika itu, dia lebih banyak menggunakan isyarat untuk menyampaikan keinginan berbanding bercakap.
Selepas mendapatkan pemeriksaan, mereka turut menghantarnya mengikuti kelas bermain bagi membantu perkembangan komunikasi dan sosialnya.
Bakat seninya turut membolehkannya menyertai pelbagai pameran, antaranya Miri Arts Festival (2024), Voices Through Colors dan CIMB Artober Art & Soul (2025), serta Emerging Voices anjuran HUGEart dan The Autsome Bazaar pada 2026.
Mengimbas usaha mendapatkan zuriat, Norida berkata mereka pernah mencuba pelbagai kaedah termasuk urutan tradisional. Pada 2011, pasangan itu menjalani rawatan permanian beradas (IUI) sebanyak dua kali. Walaupun percubaan kedua berjaya menghasilkan kehamilan, Norida mengalami keguguran beberapa minggu kemudian.
Selepas pengalaman itu, suaminya mencadangkan mereka mendapatkan rawatan di Alpha IVF. Pada 2014, ketika berusia 35 tahun, Norida hamil menerusi percubaan pertama IVF.
Belajar daripada pengalaman lalu, pasangan itu lebih berhati-hati menjaga kandungan. Norida mengurangkan pergerakan, tidak memandu sendiri dan memastikan mendapat rehat secukupnya sepanjang kehamilan.
Muhammad Emran Zidane dilahirkan seberat 2.5 kilogram menerusi pembedahan berikutan kedudukannya songsang.











