HULU KELANG: Meskipun kini kerap muncul di platform TikTok, pelakon veteran, Norlia Ghani meluahkan rasa terharu apabila sumbangannya dalam industri seni masih diingati Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Dipilih sebagai tetamu program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35), Norlia mengakui platform media sosial tersebut sangat membantu dirinya kekal relevan meskipun sudah lama tidak muncul dalam naskhah drama televisyen atau layar perak.
“Saya rasa kebiasaannya apabila wajah kita sudah lama tidak muncul di televisyen atau filem, orang akan mula lupa. Sayasangat berterima kasih kepada FINAS kerana memberikan penghargaan. Selama ini, saya rasa seolah-olah orang sudah tidak mengambil perhatian terhadap kita.
“Jadi, apabila menerima penghargaan hari ini, sekurang-kurangnya saya tahu orang masih ingat. Orang masih menghargai lakonan Mama selama ini dan masih mengenali Norlia Ghani,” katanya ketika ditemui di program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena FFM35, semalam.
Mengulas mengenai tawaran lakonan, Norlia berkata dia masih menerima pelbagai pelawaan, namun perlu lebih selektif dalam memilih projek berikutan faktor usia dan tahap kesihatan.
“Masih ada yang menawarkan Mama berlakon, cuma sekarang saya perlu mengambil kira faktor usia. Bukan memilih kerana terlalu selektif atau perkara lain, tetapi disebabkan faktor usia, tenaga dan kesihatan.
“Kalau penggambaran telefilem, mungkin tidak mengambil masa terlalu lama kerana hanya satu cerita. Tetapi kalau drama berepisod, memang memerlukan masa yang panjang.
”Apabila usia sudah menjangkau 70-an, kita perlu lebih menjaga kesihatan. Saya pun sudah tidak sekuat dahulu. Kalau dahulu saya sangat cergas, tetapi sekarang perlu lebih berhati-hati. Semuanya bergantung kepada kemampuan tenaga dan tahap kesihatan saya,” jelasnya
Ditanya mengenai tahap kesihatannya, pelakon filem Kanchan Tirana itu mengakui mempunyai masalah darah tinggi, namun bersyukur dirinya masih mempunyai daya ingatan yang baik untuk menghafal skrip.
“Pada usia sebegini, penyakit darah tinggi itu biasa. Setakat ini pun ingatan saya masih okey apatah lagi jika ada bayaran yang belum dibayar. Alhamdulillah, jika baca skrip pun masih lagi boleh hafal,” selorohnya.
Mengulas mengenai pendapatan yang diperoleh daripada TikTok, ibu kepada pelakon, Rusydi Ramli itu mengakui lebih lumayan berbanding hasil lakonan
”Sekarang, saya mencari rezeki menerusi TikTok dengan menghasilkan pelbagai kandungan seperti ulasan produk dan makanan. Selain itu, saya juga banyak menerima jemputan untuk menghadiri pelbagai majlis. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.
”Kalau mengikut pendapatan, saya sebenarnya memperoleh lebih banyak menerusi TikTok. Sebabnya, kerja di TikTok tidak mengambil masa yang terlalu panjang. Kadang-kadang dalam sehari atau dua hari sahaja, kerja sudah selesai dan kita boleh menerima bayaran.
”Kalau berlakon drama pula, biasalah. Terutama drama berepisod, penggambarannya mengambil masa yang lama. Jadi, Alhamdulillah, setakat ini semuanya okey,” ujarnya.











