SONGKHLA (THAILAND): Hampir 100,000 pasangan Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand tanpa menggunakan dokumen perjalanan sah sejak 1 September 2016 diberi peluang mendapatkan surat pengesahan perkahwinan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di sini.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pasangan yang bernikah tanpa dokumen perjalanan sah sebelum tahun ini boleh mengemukakan permohonan dengan memenuhi beberapa syarat.
“Saya juga telah meminta lima majlis agama Islam di Selatan Thai iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun supaya tidak lagi melakukan pernikahan terhadap pasangan Malaysia yang masuk secara haram. Mereka bersetuju berbuat demikian.
“Saya hendak beritahu kepada rakyat Malaysia bahawa Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla tidak lagi mengeluarkan surat pengesahan kepada pasangan yang bernikah di Thailand tanpa dokumen perjalanan sah mulai tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 14 Julai lalu, akhbar ini melaporkan, Pengarah Urusan Firma Guaman Aniza Nazri Consultancy, Datuk Ahmad Nazri Minhat berkata, Konsulat Malaysia di Songkhla mengeluarkan notis pada 1 Jun lepas memaklumkan tidak lagi mengeluarkan surat pengesahan perkahwinan kepada pasangan Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand tanpa menggunakan dokumen perjalanan sah.
Ahmad Fahmi berkata, pasangan terbabit perlu mengemukakan surat akuan sumpah yang dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia sebelum dibawa ke Kementerian Luar Negeri untuk disahkan.
“Surat itu mesti menyatakan bahawa mereka telah masuk ke Selatan Thai pada tarikh tertentu tidak menggunakan laluan yang sah dan tidak menggunakan pasport untuk bernikah dan surat itu perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.
“Jika pasangan suami isteri itu masuk secara haram bermakna kedua-duanya perlu mengemukakan surat akuan sumpah, bukan satu pasangan satu surat sumpah. Setiap permohonan akan diproses dan ia mengambil masa tiga hari bekerja,” ujarnya.
Ahmad Fahmi berkata, pasangan Malaysia yang berkahwin di luar lima wilayah berkenaan seperti Krabi atau Phuket perlu memohon surat pengesahan pernikahan daripada Kedutaan Malaysia di Bangkok.
Katanya, pihak konsulat tidak mempunyai jumlah sebenar pasangan Malaysia yang memasuki Selatan Thailand secara haram untuk bernikah.
Ujarnya, berdasarkan jumlah permohonan surat pengesahan yang diterima, kira-kira 5,000 pasangan Malaysia bernikah di Selatan Thailand setiap tahun.
Mengenai pasangan yang berkahwin menggunakan khidmat sindiket, beliau berkata, mereka perlu merujuk kepada majlis agama Islam wilayah tempat pernikahan berlangsung sekiranya sijil nikah yang dikeluarkan didapati palsu. – utusan











