NEW YORK: Syarikat pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia, Binance mengesahkan insiden pencerobohan keselamatan terbesar bernilai AS$6.3 bilion (RM26 bilion) berpunca daripada taktik temu duga kerja palsu serta alatan kecerdasan buatan (AI) dalaman yang digodam.
Menurut dapatan awal syarikat berkenaan, kumpulan penggodam melancarkan kempen pencerobohan canggih yang merangkumi pelbagai peringkat bagi mengakses sistem utama platform terbabit.
Kumpulan penceroboh dilaporkan memuat turun perisian malware ke dalam komputer jurutera Binance bagi menguasai kawalan sistem sekali gus mengeringkan dompet kripto syarikat berkenaan.
Pihak pengurusan Binance menyifatkan pencerobohan berkenaan sebagai insiden keselamatan yang amat serius serta memohon maaf secara terbuka atas kegagalan sistem keselamatan mereka.
Menerusi kenyataan di platform X, Binance memaklumkan penggodam menggunakan teknik kejuruteraan sosial untuk mempedayakan jurutera syarikat terbabit.
Taktik berkenaan bermula apabila salah seorang jurutera Binance dihubungi menerusi platform carian kerja sah sebelum dijemput menghadiri siri temu duga palsu bersama wakil syarikat rekaan.
Bagi membina kepercayaan mangsa, pihak penggodam mengaplikasikan kaedah lebih licik dengan berkongsi akaun media sosial yang mengandungi imej peribadi rekaan.
Jurutera berkenaan kemudiannya diarah memuat turun tugasan ujian yang mengandungi perisian hasad tanpa disedari semasa sesi temu duga kedua dijalankan.
Penceroboh seterusnya memanfaatkan akses komputer jurutera yang terjejas bersama alatan AI dalaman untuk menguasai komputer dua lagi jurutera lain pada Oktober lalu.
Impak insiden keselamatan itu memaksa Binance menggantung perkhidmatan pengeluaran dana untuk semua pelanggan secara global sehingga perkhidmatan berkenaan dipulihkan secara berperingkat. Para pelanggan mengeluarkan aset bernilai berbilion dolar selepas platform itu dibuka semula.
“Kami memohon maaf atas kebimbangan, gangguan dan ketidakpastian yang berlaku kepada para pengguna, rakan kongsi, serta industri secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
Syarikat tersebut menambah bahawa pihaknya telah mengambil pelbagai langkah susulan insiden berkenaan, termasuk bekerjasama dengan pihak penguatkuasa undang-undang untuk menjejak dan membekukan aset yang terjejas.
Pihaknya turut memperuntukkan lebih 100 peratus dana yang diperlukan untuk menampung kerugian tersebut, sambil memaklumkan bahawa 98 peratus aset token yang terjejas telah diganti semula setakat hari Sabtu.
Serangan bernilai rekod AS$6.3 bilion (RM26 bilion) itu dianggap sebagai pencerobohan kripto terbesar setakat ini. -AGENSI











