SEREMBAN: Jemaah yang menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur di Masjid Kuala Klawang, Jelebu dekat sini, 30 Oktober lalu diwajibkan qada atau mengulanginya kerana ia tidak sah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin, berkata Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengambil maklum isu kegagalan mendirikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
“Masjid dan surau ditentukan sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat oleh pemerintah adalah tempat penyatuan ummah, lambang syiar Islam serta medan pelaksanaan perintah Allah SWT.
“Sehubungan itu, memelihara fungsi institusi itu serta memastikan solat Jumaat dapat dilaksanakan adalah tanggungjawab bersama pihak berkuasa agama, jawatankuasa kariah dan seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Faudzinaim berkata, solat Jumaat adalah kewajipan fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim mukalaf, merdeka dan bermastautin.
“Kefarduan ini sabit berdasarkan nas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama dan meninggalkannya dengan sengaja dan tanpa keuzuran adalah berdosa.
“Sehubungan itu, setiap individu tertakluk kepada kewajipan melaksana dan menunaikan solat Jumaat hendaklah memberikan keutamaan kepada pelaksanaan ibadat itu serta mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan tuntutan syarak itu dipenuhi,” katanya.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bermuzakarah pada 3 November lalu dengan meneliti dan menimbang isu berkenaan serta sudah memutuskannya.
“Apabila sesebuah masjid atau surau atau mana-mana tempat ditetapkan pihak berkuasa agama sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat bagi sesuatu kawasan kariah dan syarat- wajib solat Jumaat dipenuhi, maka wajib ke atas mana-mana individu yang memenuhi syarat kewajipan itu untuk menunaikan solat Jumaat di tempat berkenaan.
“Setiap individu tidak dibenarkan menunaikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat, selagi mana solat Jumaat masih boleh didirikan dalam waktu Zuhur di tempat berkenaan.
“Solat Zuhur ditunaikan pada hari Jumaat tanpa keuzuran dibenarkan syarak, sedangkan kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas individu berkenaan, adalah tidak sah.
“Oleh itu, individu menunaikan solat Zuhur dalam keadaan itu wajib qada semula solat Zuhur berkenaan.
“Kita menasihatkan seluruh umat Islam di Negeri Sembilan agar sentiasa memelihara kefarduan solat Jumaat serta tidak mengambil mudah perkara sudah ditetapkan syarak.
“Pelaksanaan ibadat dan meninggalkan perselisihan perlu diutamakan ketika berada di masjid dan surau.
“Semua pihak diberikan amanah dalam pengurusan masjid dan surau hendaklah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti dan amanah bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara,” katanya.











