PETALING JAYA: Ketersediaan tenaga kerja mahir kini menjadi antara faktor utama yang menentukan keputusan pelaburan syarikat multinasional (MNC) di Malaysia susulan pelaksanaan cukai minimum global yang mengehadkan kelebihan persaingan berasaskan insentif percukaian.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan cukai minimum global pada kadar 15 peratus di Malaysia dan negara pesaing serantau mengubah pertimbangan pelabur dalam menentukan lokasi pelaburan.
“Apabila syarikat multinasional diwajibkan membayar kadar cukai efektif minimum 15 peratus tanpa mengira lokasi operasi, kelebihan pelepasan cukai tidak lagi menjadi faktor penentu utama seperti sebelum ini.
“Sebaliknya, ketersediaan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi semakin penting dalam menarik pelaburan, khususnya dalam industri berteknologi tinggi.
“Pelepasan cukai tidak lagi menjadi tarikan utama bagi pelabur seperti sebelum ini. Kini bakat yang menjadi tarikan utama. Andalah penyebabnya mereka (pelabur) datang,” katanya ketika berucap pada program Tax Budget and Me (TBAM) 2027.
Beliau berkata, keputusan pelabur untuk membangunkan kemudahan pembuatan semikonduktor dan pusat reka bentuk cip di Malaysia turut bergantung kepada keupayaan negara menyediakan kumpulan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan industri berkenaan.
“Tenaga kerja tempatan menjadi asas kepada kemasukan pelaburan.
“Ia turut memainkan peranan penting dalam memastikan pelaburan tersebut dapat direalisasikan menerusi pengurusan kewangan yang telus, pematuhan terhadap syarat insentif dan pembayaran cukai sewajarnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata, Belanjawan 2027 turut mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan sistem percukaian progresif menerusi penyediaan lebih banyak pelepasan cukai kepada golongan pertengahan dan kadar cukai lebih rendah untuk perniagaan kecil.
“Kerajaan juga akan meningkatkan kutipan cukai daripada golongan berpendapatan melebihi RM1 juta, selain menyediakan bantuan tambahan kepada peminjam yang sedang melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Pendekatan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem percukaian dilaksanakan secara adil, selain mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan hasil negara,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya terus memainkan peranan dalam memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap penggunaan hasil kutipan cukai. – UTUSAN








