Populariti yang diraih menerusi drama Projek: High Council tidak menjanjikan perjalanan kerjaya seni yang indah buat pelakon, Amir Ahnaf.
Meskipun sedar dirinya kini berada di kedudukan yang kukuh dalam industri, Amir mengakui dia masih perlu bergelut mencari peluang untuk terus kekal dalam gelanggang persada seni.
Menurut Amir, dia pernah melalui fasa terduduk sehingga sanggup terbang ke Indonesia demi menghadiri sesi uji bakat semata-mata untuk memperoleh tawaran lakonan.
“Sebenarnya, bukan mudah untuk saya sampai ke tahap ini. Selepas Projek: High Council, saya tidak mempunyai pihak pengurusan dan pemilihan projek juga agak bercelaru.
“Saya pernah terbang ke Indonesia semata-mata untuk menghadiri sesi uji bakat di sana. Industri hiburan ini sangat besar dan pelakon pula tumbuh seperti cendawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Amir menyifatkan persaingan dalam industri hiburan turut menuntut seseorang pelakon untuk lebih bijak mengetengahkan kelebihan diri bagi memastikan mereka terus mendapat tempat.
Amir berpendapat bakat lakonan semata-mata tidak mencukupi sekiranya seseorang pelakon gagal memahami kepentingan membina identiti dan memasarkan diri dalam industri.
“Bagi saya, perkara paling penting adalah menjadi diri sendiri kerana kita semua sebenarnya merupakan satu produk.
“Sebagai pelakon, kita perlu tahu bagaimana hendak memasarkan diri sendiri. Sama ada drama ataupun filem, semuanya turut melibatkan aspek perniagaan,” jelasnya.

Tidak bandingkan rezeki
Ditanya mengenai perasaannya apabila perjalanan kerjayanya berkembang terlalu pantas selepas mencipta populariti, Amir memaklumkan dia lebih selesa menyerahkan segala urusan rezeki kepada ketentuan Tuhan.
Menurut pelakon filem Baga: Esok Untuk Siapa itu, dia tidak mahu terlalu memikirkan pencapaian orang lain, sebaliknya memilih untuk menghargai setiap peluang yang diberikan kepadanya.
“Tidak kira bagaimana rentaknya, saya memilih untuk percaya sahaja kepada aturan Tuhan. Tuhan yang mengizinkan kita semua berada di sini.
Bagi saya, apa yang penting sekarang adalah menjaga diri sendiri dan keluarga. Jangan membandingkan diri dengan orang lain. Bersyukur itu sangat penting,” kongsinya.
Dalam masa sama, Amir turut meluahkan rasa syukur kerana sentiasa dikelilingi individu yang baik dan masih mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak untuk meneruskan kerjaya lakonannya.
“Alhamdulillah, keadaan mental saya baik kerana dikelilingi orang-orang yang baik. Saya sangat bersyukur kerana masih ramai yang memberikan kepercayaan dan membuka pintu rezeki kepada saya,” tambahnya.
Muncul dalam dua naskhah layar perak iaitu Sayang Sayang dan Baga: Esok Untuk Siapa yang bakal ditayangkan secara serentak, Amir berharap kedua-dua karya lakonannya itu mampu menyentuh hati peminat.
“Saya sendiri tidak tahu bila filem-filem tersebut akan ditayangkan. Tiba-tiba kedua-duanya keluar serentak. Sebuah filem membawa konsep yang gelap, manakala sebuah lagi mengangkat kisah kekeluargaan.
”Jadi, terpulang kepada cita rasa penonton untuk memilih cerita yang mereka mahu tonton. Apa yang menarik, kedua-duanya merupakan cerita yang berkaitan dengan Terengganu.
“Bagi saya, setiap penonton mempunyai perspektif masing-masing. Pandangan penonton sangat penting untuk membantu penambahbaikan industri perfileman kita. Kalau cerita itu bagus, katakan bagus. Kalau tidak bagus, katakan sahaja tidak bagus,” ujarnya.











