ALOR SETAR: Sindiket yang menjadikan premis di Kedah sebagai pusat panggilan untuk kegiatan penipuan dalam talian didapati semakin meningkat pada tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kumpulan itu menyasarkan rumah kedai, hotel atau resort yang terabai di negeri ini sebagai pusat operasi bagi memperdaya mangsa-mangsa.
Katanya, bagi tahun ini sahaja bermula Januari hingga Oktober lalu, pihaknya sudah menumpaskan tujuh kumpulan sindiket penipuan dalam talian yang melibatkan 87 tangkapan suspek pelbagai negara.
“Kita mengakui memang ada peningkatan sindiket ini yang menjadikan Kedah sebagai ‘calling centre’ dan disebabkan itu kami mohon kerjasama orang ramai untuk salur maklumat jika mengesan aktiviti mencurigakan.
“Indikatornya mudah sahaja iaitu tempat yang sebelum ini suram atau terabai tiba-tiba meriah dan ada pergerakan. Mereka juga mungkin tidak keluar dari premis kerana segala aktiviti berlaku di dalam bangunan termasuk makanan dan minuman yang dihantar,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Adzli berkata, daripada 87 tangkapan terbabit, seramai 27 adalah warga tempatan diikuti 33 warga Pakistan, 15 rakyat China, lapan warga India dan empat Bangladesh.
Tambahnya, hasil soal siasat terhadap suspek yang ditahan mendapati sindiket berkenaan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat tempatan dan warga asing dari Thailand, Jepun, China, Australia, India serta Bangladesh.
“Siasatan turut mendedahkan sindiket itu menggunakan pelbagai taktik dan modus operandi dengan mengeksploitasi kemudahan komunikasi serta teknologi bagi memperdaya mangsa untuk memperoleh keuntungan secara tidak sah.
“Antara modus operandi dikenal pasti termasuk penyalahgunaan transaksi kewangan dalam institusi perbankan, tawaran nombor ramalan palsu secara dalam talian, penipuan percintaan, tawaran kerja sambilan tidak wujud serta penipuan telefon melalui penyamaran sebagai pegawai penguat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai peralatan dan barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket itu turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM300,000.
Sementara itu, dalam kes terbaru pada 2 November lalu, tiga lelaki warga Pakistan berusia antara 21 hingga 23 tahun yang dipercayai mengendalikan pusat panggilan perjudian dalam talian ditahan pada pukul 12.25 tengah malam.
Adzli berkata, pemeriksaan awal oleh pakar perjudian mendapati terdapat paparan promosi serta aktiviti perjudian dalam talian pada peralatan yang diperiksa.
“Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dan kesemua suspek dipercayai menerima gaji RM3,600 sebulan. Setakat ini, mereka memperoleh keuntungan sebanyak RM193,675,” katanya. – UTUSAN











