DUN Kelantan: 1,446 kes khalwat, remaja paling ramai

DUN Kelantan: 1,446 kes khalwat, remaja paling ramai

MOHD. ASRI MAT DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) merekodkan sebanyak 1,446 kes khalwat  dalam tempoh tiga tahun dengan golongan remaja mencatatkan jumlah tertinggi daripada keseluruhan kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, ia adalah sebahagian daripada 2,135 kes tangkapan berkaitan kesalahan jenayah syariah yang direkodkan jabatan berkenaan sepanjang 2023 hingga 2025.

Katanya, kes khalwat menjadi kesalahan paling banyak direkodkan menerusi operasi penguatkuasaan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada keseluruhan kes khalwat direkodkan, kes melibatkan kesalahan di peringkat remaja adalah paling banyak sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, JAHEAIK turut merekodkan 435 kes membabitkan perbuatan atau percakapan tidak sopan, diikuti 84 kes hamil luar nikah, 55 kes mendedahkan aurat di tempat awam dan 25 kes tidak menghormati bulan Ramadan.

Katanya, sebanyak 21 kes lelaki berlagak seperti perempuan turut direkodkan selain tiga kes perempuan berlagak seperti lelaki, tiga kes menggalakkan kemungkaran dan 63 kes melibatkan pelbagai kesalahan lain.

Beliau berkata, kesalahan berkaitan percakapan tidak sopan turut menunjukkan peningkatan pada tahun ini dan perlu diberikan perhatian khususnya di jajahan Kota Bharu yang merekodkan 282 kes, diikuti Bachok dengan 233 kes.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang syariah di negeri ini berlandaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang berkuat kuasa pada 1 November 2021. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini