TUMPAT: Dua kali menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam kebimbangan di rumah yang hampir menyembah bumi, seorang ibu tunggal dari Kampung Jubakar Pantai di sini akhirnya menarik nafas lega apabila rumah baharunya siap dibina selepas hampir dua tahun menanti.
Noraini Nawi, 40, yang kehilangan rumah akibat banjir besar pada 2024, bersyukur apabila rumah tiga bilik di bawah Program Bina Baharu Rumah Dibandar (PBBR) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu siap dibina pada 23 Ogos lalu.
Rumah baharu itu dibina di atas tapak rumah pusaka peninggalan ibunya yang rosak teruk dan sebahagiannya runtuh dihanyutkan arus deras banjir.
Lebih memilukan, sepanjang tempoh menunggu rumah baharu itu disiapkan, Noraini terpaksa terus tinggal di kediaman yang rosak bersama kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Norma, 43, serta dua anaknya, Che Natasha Safia Che Ali, 15, dan Che Najihan Syahrizal, 12.
“Alhamdulillah, penantian saya selama dua tahun berakhir. Rumah ini yang dilengkapi tiga bilik sangat selesa menggantikan rumah yang hampir runtuh itu. Bagaimanapun, kami sekeluarga belum boleh mendudukinya kerana kunci belum diserahkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Jubakar Pantai.
Menurut Noraini, dia sekeluarga terpaksa mengharungi dua kali Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan bimbang kerana sebahagian rumah termasuk ruang tamu dan bilik tidur sudah runtuh.
Katanya, walaupun dimaklumkan menerima rumah baharu selepas kediaman mereka musnah akibat banjir, pelaksanaannya mengambil masa lama tanpa perkembangan yang jelas.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan yang membantu membolehkan kami sekeluarga memiliki rumah baharu untuk berteduh,” katanya.
Menurutnya, dengan pendapatan hanya RM400 sebulan sebagai pengasuh, dia tidak mempunyai kemampuan untuk membaiki apatah lagi membina semula rumah pusaka berkenaan.
“Dengan pendapatan sebanyak RM400 sebulan bekerja sebagai pengasuh, saya tidak mampu membaiki mahupun membina rumah baharu,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Noraini bersama kakaknya tetap tinggal di rumah yang terjejas teruk di Kampung Jubakar Pantai walaupun sebahagian kediaman itu runtuh dihanyutkan arus deras banjir pada 2024.-UTUSAN.











