PETALING JAYA: Imanol Machuca menjadi pemain pertama daripada tujuh tonggak warisan Harimau Malaya yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas tempoh penggantungan selama 12 bulan berakhir.
Pemain berusia 26 tahun itu membuat penampilan semula apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88 ketika kelabnya, Independiente terikat 1-1 dengan Defensa y Justicia dalam saingan Liga Utama Argentina, semalam.
Meskipun hanya beraksi pada penghujung perlawanan, kemunculan itu cukup bermakna buat Machuca yang terpaksa mengetepikan aksi kompetitif sejak dikenakan hukuman penggantungan yang tamat pada 30 Oktober lalu.
Machuca menyertai Independiente dari kelab Brazil, Fortaleza pada penghujung Julai lalu, namun tidak berpeluang membantu pasukan baharunya dalam perlawanan rasmi sepanjang tempoh hukuman berkenaan.
Kepulangan Machuca turut membuka lembaran baharu buat enam lagi pemain yang menerima hukuman sama, dengan tiga daripadanya iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dijangka menyusul apabila bakal diberi peluang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, Facundo Garces dijangka hanya dapat kembali beraksi tahun depan selepas masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya pada September lalu.
Pemain Deportivo Alaves itu antara enam pemain lain yang turut digantung FIFA, selain Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero.
Kontroversi tujuh pemain warisan itu tercetus selepas FIFA mendapati dokumen berkaitan kelayakan mereka untuk mewakili Malaysia telah dipalsukan, sekali gus membawa kepada tindakan disiplin terhadap FAM dan pemain terbabit.
Kes berkenaan terbongkar selepas kesemua tujuh pemain itu diturunkan ketika Malaysia menewaskan Vietnam 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun 2025.
FIFA kemudian mengenakan penggantungan selama 12 bulan serta denda terhadap setiap pemain, selain hukuman kewangan ke atas FAM.
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Mac lalu mengehadkan larangan itu kepada perlawanan rasmi, sekali gus membolehkan pemain terbabit meneruskan latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan. – UTUSAN











