TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan rahsia ke atas Pulau Qeshm, Selat Hormuz, Iran, pada Isnin sehari sebelum pilihan raya pertengahan penggal diadakan di negara itu.
Serangan itu dilakukan selepas Presiden Donald Trump memberi isyarat berlaku kemajuan dalam rundingan dengan Iran manakala Teheran menawarkan untuk membuka Selat Hormuz selama dua hari dengan syarat ketat.
Seorang pegawai AS memberitahu pemberita bahawa pasukan tentera Iran menggunakan peluru berpandu darat ke udara terhadap aset AS, susulan laporan mengenai tembakan Iran yang menyasarkan sebuah pesawat Amerika.
Beberapa pegawai AS menyifatkan operasi itu sebagai usaha menghalang Iran daripada membangunkan keupayaan untuk mengancam atau menyerang kapal komersial yang melalui Selat Hormuz, antara laluan transit tenaga paling strategik di dunia.
The Wall Street Journal melaporkan bahawa tentera AS meneruskan serangan berskala kecil terhadap sasaran di Iran sejak beberapa minggu lalu.
Aktiviti ketenteraan berterusan di sekitar Pulau Qeshm, dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa pada Isnin bahawa pihaknya menembak jatuh dua dron AS di selatan pulau itu, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim.
Media kerajaan Iran turut melaporkan kejadian letupan di pulau berkenaan dan bandar pelabuhan pesisir pantai Bandar Lengeh.
Ketika ditemu bual Fox News kemudian, Trump sekali lagi memperkecil skala konflik itu dengan mendakwa tiada pertempuran berlaku sejak beberapa bulan lalu.
“Saya tidak tahu sama ada kita boleh menyebutnya sebagai perang kerana kita sudah tidak melakukan sebarang pertempuran selama berbulan-bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Tentera Israel pada Selasa menafikan penglibatan dalam serangan AS yang dilaporkan menyasarkan sebuah pulau di Iran, meskipun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu baru-baru ini mengancam untuk menyambung semula perang dengan Teheran.
Ketika ditanya sama ada Israel terbabit dalam serangan rahsia yang dilaporkan media AS di Pulau Qeshm, yang terletak di Selat Hormuz, jurucakap tentera Israel memberitahu AFP: “Tidak”.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata pada Selasa bahawa Teheran berhak mempertahankan diri susulan serangan AS ke atas Pulau Qeshm.
“Republik Islam Iran mengekalkan hak untuk mempertahankan diri secara sah sehingga pencerobohan ketenteraan itu dihentikan sepenuhnya dan secara kekal,” kata Gharibabadi, menurut agensi berita ISNA Iran.
Pada 1 September lalu, AS melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm, Bandar Abbas dan Kouhestak mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan 108 yang lain dalam satu gelombang serangan sepanjang malam, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
Sejak itu tiada serangan berskala besar dilancarkan oleh AS ke atas Iran walaupun beberapa buah kapal komersial dilaporkan terbakar dan meletup ketika melalui lalun yang tidak dibenarkan oleh Iran di Selat Hormuz.
Sejak perang bermula pada hujung Februari lalu, lebih 3,000 rakyat Iran, termasuk orang awam dan anggota pasukan keselamatan terbunuh.
Jabatan Pertahanan atau Pentagon turut menyemak semula jumlah anggota tentera AS yang terkorban dalam operasi berkaitan perang menentang Iran kepada 23 orang.
Pada awal bulan ini, Trump mengarahkan kapal pengangkut pesawat ketiga AS dihantar ke Asia Barat, meskipun beliau mendakwa konflik itu akan berakhir tidak lama lagi.
Markas Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan penempatan tiga kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat di Asia Barat. Ia merupakan peningkatan kekuatan tentera laut terbesar negara itu di rantau berkenaan sejak pencerobohan Iraq pada 2003 .











