Hanya 26 peratus wanita barisi kepimpinan tertinggi universiti, KPT sasar tingkat penyertaan

Hanya 26 peratus wanita barisi kepimpinan tertinggi universiti, KPT sasar tingkat penyertaan

ZAMBRY Abdul Kadir ketika merasmikan majlis penutup Program SheLeads 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berusaha meningkatkan jumlah wanita dalam barisan kepimpinan tertinggi universiti awam berikutan penyertaan golongan itu ketika ini masih sekitar 26 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, angka itu masih boleh dipertingkatkan memandangkan wanita mengisi 46 peratus jawatan kepimpinan pelapis di universiti awam.

Menurut beliau, negara mempunyai ramai wanita berbakat, berilmu dan berpotensi besar untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan lebih tinggi, justeru ruang serta peluang sewajarnya perlu diberikan kepada mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, usaha memperkasa kepimpinan wanita bukan sekadar memenuhi kuota atau mengejar angka peratusan, sebaliknya perlu berasaskan merit, kemampuan serta peluang yang adil.

“Kita bukan sekadar mahu melihat lebih ramai wanita menjadi pemimpin, tetapi mahu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang benar-benar berkualiti, berwibawa dan mampu membawa perubahan.

“Apa yang penting, kita mesti membuka ruang dan memberikan peluang kepada mereka untuk menyerlahkan kebolehan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika meraikan 44 peserta daripada 20 universiti awam yang menamatkan Program SheLeads 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, hari ini.

Zambry berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif KPT untuk menggilap bakat kepimpinan wanita menerusi latihan, perkongsian pengalaman serta bimbingan daripada pemimpin berpengalaman.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkasa kepimpinan wanita bukan tanggungjawab golongan itu semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk kaum lelaki.

Katanya, organisasi yang kukuh dan berjaya dibina menerusi kekuatan serta keupayaan setiap individu tanpa mengira jantina.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan kepada semua kelompok bagi memastikan lebih ramai bakat wanita berpeluang dibangunkan sebagai pemimpin masa depan.

Zambry turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan SheLeads 2026 serta merakamkan penghargaan kepada AKEPT dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini