PETALING JAYA: Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyalurkan sumbangan perlindungan takaful berjumlah RM73,800 kepada 615 usahawan mikro asnaf menerusi Program Perlindungan i-TEKAD.
Program berkenaan dilancarkan hari ini menerusi kerjasama strategik Takaful IKHLAS, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad dan LZNK bagi memperluas akses perlindungan takaful kepada usahawan mikro asnaf yang mengikuti program pembangunan keusahawanan di bawah seliaan LZNK.
Takaful IKHLAS dalam kenyataan berkata, kerjasama strategik bersama LZNK membuktikan bagaimana institusi kewangan Islam dan agensi zakat dapat berganding bahu untuk menghasilkan impak sosial yang positif dan berkekalan kepada golongan yang memerlukan.
“Di Takaful IKHLAS, kami percaya bahawa perlindungan kewangan yang menyeluruh perlu dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan usahawan mikro dan asnaf yang sedang berusaha membina kehidupan yang lebih baik.
“Melalui program ini, Takaful IKHLAS bukan sahaja menyediakan perlindungan takaful, malah turut menyokong agenda memperkukuh ketahanan kewangan serta pembangunan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dr. Mohd Faisal Mustaffa melancarkan program terbabit dengan kehadiran 100 usahawan mikro asnaf.
Menurutnya, menerusi pelan perlindungan i-TEKAD, peserta menerima manfaat Kematian atau Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (HUMK) sebanyak RM10,000 sekiranya berlaku akibat semula jadi atau biasa, serta tambahan RM10,000 sekiranya kejadian berpunca daripada kemalangan.
Ujarnya, peserta turut menikmati manfaat hospital sebanyak RM50 sehari sehingga maksimum 21 hari, selain berpeluang mengikuti program pendidikan dan kesedaran literasi kewangan bagi meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan kewangan serta perancangan perlindungan kewangan untuk masa hadapan.
“Sumbangan perlindungan RM73,800 itu disalurkan menerusi hasil kerjasama pelbagai pihak, membabitkan dana daripada peserta Takaful IKHLAS melalui platform pengumpulan dan pengagihan dana patuh Syariah, IKHLAS Barakah House (IBH), sumbangan LZNK serta geran kerajaan menerusi dana Bank Negara Malaysia (BNM).
“Program i-TEKAD merupakan inisiatif kewangan sosial BNM yang membantu usahawan mikro berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup melalui latihan, pembiayaan dan perlindungan kewangan,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan program i-TEKAD oleh Takaful IKHLAS diselaraskan menerusi IBH dengan fokus memperluas impak sosial melalui lima teras utama iaitu pembangunan ekonomi, kesejahteraan kesihatan, pemerkasaan komuniti, peningkatan pendidikan dan kelestarian alam sekitar.
“Dana IBH diperoleh menerusi zakat perniagaan, lebihan agihan kewangan serta sumbangan daripada peserta pelan perlindungan Takaful IKHLAS,” katanya.- UTUSAN











