SUNGAI BULOH: Belum sempat pulih daripada banjir sebelumnya, penduduk Kampung Melayu Subang, sekali lagi berdepan musibah sama apabila kawasan itu dilanda banjir kilat sehingga empat kali dalam tempoh sebulan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kejadian banjir berulang bukan sahaja menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian harta benda, malah kehidupan harian mereka turut terganggu setiap kali hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Seorang mangsa, Fauziah Isnen, 48, berkata kejadian banjir petang kelmarin menyebabkan pelbagai barangan dalam rumahnya rosak termasuk mesin basuh dan peti sejuk, selain sebuah kereta serta motosikal turut terjejas.
Menurutnya, masalah banjir itu sudah berlarutan sejak belasan tahun lalu dan penduduk di kawasan rendah dapat menjangkakan kediaman mereka akan dinaiki air setiap kali hujan lebat melebihi setengah jam.
“Saya dah tahu, kalau hujan tak berhenti dalam tempoh sejam, rumah saya dan kawasan sekitar yang dalam kedudukan rendah akan dinaiki air. Inilah benda yang kami sekeluarga dan penduduk berhampiran harungi selama belasan tahun mendiami kawasan ini.
“Akibat banjir semalam, semua barang dalam kediaman saya rosak seperti mesin basuh, peti ais selain sebuah kereta dan motosikal, tapi saya tak dapat nak menilai jumlah kerugian saya, mungkin mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.
Fauziah berkata, setiap kali banjir, penduduk bukan sahaja berdepan kerugian harta benda, malah perlu mengeluarkan tenaga dan masa untuk membersihkan kediaman selepas air surut.
Bagaimanapun, katanya, kesepakatan penduduk kampung menjadi kekuatan mereka ketika berdepan musibah apabila jiran tetangga tampil membantu menyelamatkan ahli keluarga dan barangan ke tempat lebih selamat.
“Masa air sedang naik, dengan rata-rata penduduk sibuk menyelamatkan harta benda dan barang keperluan, ada antara penduduk lain di kampung ini yang tampil membantu membawa ahli keluarga terutama anak-anak kecil dan barang keperluan kami ke tempat selamat.
“Inilah semangat kerjasama penduduk kampung ini yang saling bantu-membantu dan tolong-menolong,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Ros Safizul Anuar, 45, berkata, kerjasama sesama penduduk turut membantu memastikan keselamatan keluarga masing-masing ketika berdepan kenaikan air secara mendadak.

Ros Safizul yang menetap di kampung berkenaan sejak 20 tahun lalu berkata, hujan lebat mula melanda kawasan itu kira-kira pukul 3.30 petang sebelum air memasuki rumahnya dalam tempoh 20 minit.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama isteri dan empat anak berada di rumah sebelum berpindah ke kediaman jiran yang mempunyai dua tingkat apabila air naik ke paras pinggangnya.
Keluarganya kemudian diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan. – UTUSAN











