PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersama Global Vision Lab Sdn. Bhd. (GVL) meneroka cadangan pembangunan sebuah pusat data kecerdasan buatan (AI) di Perak dengan kapasiti kuasa dirancang melebihi 100 megawatt (MW).
Cadangan berkenaan bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) serta aplikasi berasaskan pemprosesan grafik (GPU) di Malaysia dan rantau ini.
Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan Surat Persetujuan (Letter of Consent) bagi membolehkan pertukaran maklumat serta penelitian awal terhadap aspek teknikal, infrastruktur dan potensi komersial projek berkenaan.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq berkata, penerokaan itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperluas asas pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan sektor teknologi bernilai tinggi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan berpotensi meletakkan negeri itu sebagai antara destinasi pembangunan infrastruktur digital berteknologi tinggi.
“Inisiatif ini menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan membuka ruang untuk Perak muncul sebagai destinasi pembangunan infrastruktur digital berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri dalam ekosistem digital Malaysia dan ASEAN.
“Kami melihat potensi manfaat yang lebih luas, termasuk peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan rantaian bekalan teknologi tempatan serta penggunaan AI dalam sektor seperti pembuatan dan logistik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pada peringkat awal, PKNPk akan memberi tumpuan kepada penilaian nilai ekonomi yang berpotensi diwujudkan kepada negeri, selain mengenal pasti peluang penyertaan bakat dan perusahaan tempatan.
“Penilaian awal projek itu dijangka merangkumi kesesuaian tapak, ketersediaan bekalan elektrik, sistem penyejukan, kesalinghubungan rangkaian serta keperluan infrastruktur berkaitan,” katanya.
Dalam kerjasama itu, PKNPk akan menyelaras penglibatan pihak berkepentingan di peringkat negeri, manakala GVL bertanggungjawab menerajui perancangan pembangunan serta penyelarasan penilaian teknikal dan komersial.
ITMAN Service Center (M) Sdn. Bhd. dan Future Quantum Co., Ltd. turut disenaraikan sebagai rakan projek, dengan peranan serta sumbangan khusus masing-masing akan diperincikan berdasarkan pengaturan projek yang bakal dimuktamadkan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GVL, Y.L. Lee berkata, peningkatan permintaan terhadap AI generatif dan pengkomputeran berprestasi tinggi menjadikan pembangunan infrastruktur digital yang kukuh serta fleksibel semakin penting.
“Kerjasama dengan PKNPk dan rakan projek membolehkan kami menilai keperluan yang perlu dipenuhi bagi memastikan cadangan pusat data ini sesuai dengan keperluan pasaran serantau.
“Tumpuan kami sekarang ialah meneliti keperluan operasi dan aspek komersial bagi mengenal pasti model pembangunan yang berdaya maju,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya penilaian mengesahkan kebolehlaksanaan projek, pembangunan berkenaan berpotensi menarik pelaburan teknologi serta membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan pusat data.
“Selain mewujudkan peluang pekerjaan, projek itu turut berpotensi menyumbang kepada pembangunan kemahiran dalam bidang operasi pusat data, kejuruteraan dan teknologi digital.
“Bagaimanapun, skala manfaat ekonomi dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan bergantung kepada skop akhir pembangunan serta keperluan tenaga kerja projek berkenaan,” katanya.
PKNPk, GVL dan rakan projek akan meneruskan penelitian terhadap kesesuaian tapak, pengaturan bekalan kuasa, keperluan teknikal, struktur pelaburan serta pilihan pelaksanaan.
Kapasiti melebihi 100MW yang dicadangkan ketika ini masih pada peringkat sasaran perancangan dan belum dimuktamadkan.
Skop projek, komitmen pelaburan, pengaturan pembinaan, bekalan kuasa serta jadual pelaksanaan hanya akan ditentukan selepas penilaian selesai, perjanjian muktamad dimeterai dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan diperoleh. – UTUSAN











