JOHOR BAHRU: Seorang pengurus koperasi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk membuat pembiayaan peribadi, empat tahun lalu.
Tertuduh, Ku Siti Zulaikha Mohamed Zakkariya, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N. Kanageswari.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah memperdayakan Ibrahim Ali, 61, dengan mendorongnya untuk mempercayai bahawa butiran dalam dokumen sokongan yang dikemukakan untuk permohonan pembiayaan peribadi mengandungi butiran yang palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Koperasi Pegawai Kerajaan DaerahJohor Bahru Berhad (KOOPJB), Bangunan Kerjasama, Jalan Dhoby, di sini pada 23 September 2022.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, sekiranya disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Azlan Bohari.
Pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dikenakan terhadap tertuduh.
Azlan mewakili anak guamnya memohon jaminan minimum kerana tertuduh yang masih bekerja mempunyai dengan pendapatan RM4,000 sebulan selain tanggungan lima orang anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 17 November depan sebagai tarikh untuk mengemukakan fakta kes dan hukuman.-UTUSAN











