KUALA LUMPUR: Tiada pengecualian daripada tindakan undang-undang terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati melakukan kesalahan meskipun mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap pegawai perlu mematuhi peraturan dan sebarang dakwaan salah laku hendaklah ditangani mengikut proses perundangan tanpa mengamalkan sikap dwistandard.
Beliau turut merujuk kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang dijatuhi hukuman penjara susulan insiden memukul seorang tahanan pada 1998 sebagai contoh bahawa jasa seseorang pegawai tidak mengecualikannya daripada proses perundangan.
“Kita kena ingat, betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan-dakwaan atau tuduhan seseorang itu didera, dia perlu mengikut proses
“Arau tahu, pada 1998 Ketua Polis Negara dipenjara kerana memukul seseorang.
“Apakah dia tidak ada jasa? Dia ada jasa. Jadi kita ada dua perkara iaitu kerja mesti profesional tetapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung pertukaran Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Shahidan mempersoalkan rasional pertukaran itu meskipun Mohd. Shuhaily menunjukkan prestasi cemerlang, selain tindakan mengambil kira laporan polis berbanding laporan dalaman AKPS susulan penularan satu klip video keselamatan.
Sementara itu, mengenai pengisian jawatan AKPS, Anwar berkata, proses penyerapan pegawai penguat kuasa daripada agensi berkaitan dilaksanakan secara telus berdasarkan skim tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa sebarang paksaan.
Katanya, tawaran berkenaan sudah dikemukakan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta PDRM.
“Sebahagian besar telah menerimanya dan ada juga tidak mahu terima tetapi skim itu adalah skim kerajaan sedia ada,” katanya. -UTUSAN











