Kolam tadahan atasi banjir kilat di Kampung Melayu Subang

Kolam tadahan atasi banjir kilat di Kampung Melayu Subang

R.RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Pembinaan kolam tadahan akan dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang berulang di Kampung Melayu Subang di sini, sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) disiapkan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah berkenaan diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kejadian banjir yang berlaku sebanyak empat kali dalam tempoh 30 hari di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, tiga kejadian banjir berlaku sepanjang Oktober manakala satu lagi melanda kawasan itu pada awal November.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh 30 hari ini, sudah empat kali banjir berlaku. Tiga kali pada bulan lalu dan ini kali pertama berlaku pada November.

“Tidak sampai dua hari memasuki November, sudah berlaku satu lagi kejadian banjir,” katanya selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Melayu Subang, hari ini.

Ramanan berkata, kira-kira 550 rumah terjejas akibat kejadian banjir berulang itu, membabitkan hampir 1,500 penduduk berdasarkan purata tiga penghuni bagi setiap rumah.

Katanya, pembinaan kolam tadahan itu bukan bertujuan menghentikan banjir sepenuhnya, sebaliknya mengurangkan kesannya kepada penduduk sementara menunggu projek RTB disiapkan.

“Perdana Menteri sudah mengarahkan supaya satu penyelesaian sementara diadakan.

“Jadi, kita akan bina, contohnya, kolam tadahan untuk menahan air. Ia bukan untuk menghentikan banjir sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan banjir yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan tindak balas pantas dari Parlimen Sungai Buloh digerakkan bagi membantu kerja pembersihan rumah serta menyediakan makanan kepada penduduk terjejas.

Katanya, bantuan turut merangkumi barangan keperluan asas seperti makanan, peralatan memasak, seterika dan tilam bagi membantu penduduk yang kehilangan atau mengalami kerosakan harta benda.

Beliau menjelaskan, bantuan diberikan dalam bentuk barangan dan bukannya wang tunai bagi memastikan keperluan sebenar mangsa dapat dipenuhi.

“Kita memberi barangan keperluan kepada mangsa kerana wang tunai boleh menyebabkan ada yang menerima kurang dan ada yang menerima lebih.

“Ada juga yang mungkin tidak menggunakan wang itu untuk keperluan rumah. Jadi, kita berikan barangan yang benar-benar diperlukan,” katanya.

Ramanan berkata, projek RTB Fasa 1 dan Fasa 2 bagi kawasan Sungai Buloh serta Sungai Damansara diluluskan dan sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, tahap kemajuan projek berbeza mengikut kawasan dengan sesetengah bahagian mencapai sekitar 30 hingga 40 peratus manakala kawasan lain sekitar 50 hingga 60 peratus.

“Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan.

“Masalah banjir di kawasan ini bukan isu baharu dan memerlukan penyelesaian jangka panjang, selain langkah sementara bagi mengurangkan kesannya kepada penduduk sementara projek tebatan banjir disiapkan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini