Maritim Malaysia pertimbang kenaikan pangkat Allahyarham Mohd Roshaimi

Maritim Malaysia pertimbang kenaikan pangkat Allahyarham Mohd Roshaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Allahyarham Laskar Kanan Maritim, Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang terkorban ketika menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis pada 27 Oktober lalu akan dipertimbangkan kenaikan pangkat secara anumerta.

Kenaikan pangkat secara anumerta adalah kenaikan pangkat atau gred jawatan kepada seseorang individu, biasanya anggota keselamatan, selepas kematian mereka sebagai tanpa penghargaan.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan syor kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mempertimbangkan perkara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, syor berkenaan dikemukakan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham.

“Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa serta pengorbanan Allahyarham dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, Maritim Malaysia telah mengemukakan syor kepada JPA melalui KDN bagi mempertimbangkan kenaikan pangkat  kepada Allahyarham tertakluk kepada peraturan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata, kematian Allahyarham dalam kejadian itu merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh warga Maritim Malaysia.

Menurutnya, pengorbanan Allahyarham mengingatkan semua pihak bahawa setiap operasi penguatkuasaan mempunyai risiko tersendiri apabila anggota mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi melaksanakan amanah kepada negara.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Pengorbanan beliau mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap operasi penguatkuasaan, terdapat anggota yang mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi melaksanakan amanah kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memberikan perhatian kepada aspek keselamatan, kebajikan dan kesiapsiagaan anggota supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih selamat dan berkesan.

Katanya, usaha meningkatkan keupayaan anggota juga akan diteruskan menerusi latihan bersesuaian serta penggunaan aset keselamatan yang lebih berkesan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini