Bahasa slanga sudah jadi kebiasaan?

Bahasa slanga sudah jadi kebiasaan?

KEBIASAAN menggunakan slanga perlu disertai kesedaran tentang kesesuaian penggunaannya, khususnya dalam situasi rasmi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU video tular mampu mencipta perkataan baharu. Satu ungkapan lucu pula boleh menjadi ikutan ribuan pengguna sehingga akhirnya sebati dalam perbualan harian. 

Begitulah pantasnya media sosial mempengaruhi cara masyarakat berbahasa pada hari ini. Perkataan seperti ‘healing’, ‘bestie’, ‘ngam’, ‘padu’ dan ‘relate’ bukan lagi asing, malah semakin kerap digunakan dalam kapsyen, ruangan komen dan komunikasi seharian. 

Ini membuktikan bahawa media sosial bukan sekadar ruang hiburan tetapi turut menjadi platform yang membentuk perkembangan bahasa masyarakat. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Persoalannya, adakah bahasa slanga sekadar trend sementara atau sudah menjadi kebiasaan yang sukar dipisahkan daripada kehidupan kita? 

Hakikatnya, bahasa slanga sering digunakan untuk mewujudkan komunikasi yang lebih santai, ringkas dan mesra. Dalam kalangan pengguna media sosial, slanga juga menjadi lambang identiti yang membezakan kelompok tertentu. 

Misalnya, perkataan ‘bestie’ digunakan untuk merujuk kepada sahabat rapat, manakala ‘relate’ menggambarkan persamaan pengalaman seseorang. Penggunaan ungkapan ini bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah mewujudkan rasa kebersamaan antara pengguna. 

Kajian Paijin, Ja’afardan Mohd Rusli (2022) turut menunjukkan slanga dalam media sosial mempunyai makna tersendiri yang difahami oleh kelompok pengguna tertentu. 

Perkembangan media sosial menjadi pemangkin utama penyebaran bahasa slanga. Platform seperti TikTok, Instagram dan Threads membolehkan sesuatu perkataan tersebar dengan pantas melalui video tular serta kandungan pempengaruh. 

Apabila sesuatu ungkapan sering digunakan oleh pencipta kandungan, pengguna lain cenderung menirunya sehingga menjadi ikutan ramai.

Menariknya, sesuatu slanga yang bermula sebagai trend boleh berubah menjadi kebiasaan apabila digunakan secara berulang kali. Contohnya, perkataan ‘healing’ yang asalnya merujuk kepada proses penyembuhan kini sering digunakan untuk menggambarkan aktiviti berehat, bercuti atau menenangkan fikiran.

Perubahan ini menunjukkan makna perkataan boleh berkembang mengikut konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun, kebiasaan menggunakan slanga perlu disertai kesedaran tentang kesesuaian penggunaannya, khususnya dalam situasi rasmi. 

Dari sudut positif, slanga menjadikan komunikasi lebih kreatif, santai dan dekat dengan kehidupan masyarakat. Namun, penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan seseorang sukar membezakan bahasa tidak formal dengan bahasa standard. Misalnya, penggunaan singkatan dan campuran bahasa yang terlalu kerap mungkin terbawa-bawa dalam penulisan tugasan akademik, surat rasmi atau urusan pekerjaan. 

Oleh itu, pengguna perlu bijak mengawal penggunaan slanga agar tidak menjejaskan ketepatan dan kejelasan bahasa Melayu. 

Dalam hal ini, pengguna media sosial perlu memainkan peranan dengan memilih bahasa yang sesuai mengikut keadaan. Penggunaan slanga tidak perlu dihapuskan sepenuhnya kerana bahasa sentiasa berkembang seiring dengan perubahan zaman. 

Sebaliknya, masyarakat perlu memahami perbezaan antara komunikasi santai dengan komunikasi rasmi. 

Pempengaruh dan pencipta kandungan juga boleh membantu memartabatkan bahasa Melayu melalui kandungan yang menarik tanpa mengabaikan penggunaan bahasa yang betul. Pada masa yang sama, amalan membaca bahan berbahasa standard seperti rencana akhbar dan artikel ilmiah perlu dipupuk bagi mengekalkan penguasaan bahasa Melayu. 

Bahasa slanga mungkin bermula sebagai trend tetapi pengulangan menjadikannya kebiasaan. 

Masyarakat tidak perlu menolak perubahan bahasa, sebaliknya perlu bijak menggunakannya mengikut kesesuaian. Kita boleh mengikut arus perubahan bahasa, tetapi jangan sesekali membiarkan arus itu menghanyutkan jati diri bahasa Melayu. –UTUSAN

 

FATIN NADHIRAH SHAMSUL ARIFFIN & DR. NORUL HAIDA REDUZAN

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini