DUN Kelantan: RM2.23 juta selenggara parit, sistem saliran hadapi tengkujuh

DUN Kelantan: RM2.23 juta selenggara parit, sistem saliran hadapi tengkujuh

IZANI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menerima peruntukan RM2.23 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menyelenggara parit serta sistem saliran sedia ada sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia penting bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik khususnya ketika hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, selain itu Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan RM18 juta bagi melaksanakan 174 kerja di bawah Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir (RMKE-13) yang melibatkan semua jajahan di Kelantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan negeri pula memperuntukkan RM5.3 juta menerusi peruntukan pembangunan negeri (P17) bagi melaksanakan 82 kerja di seluruh jajahan. Kerja-kerja tersebut dilaksanakan di setiap jajahan dengan status dalam pembinaan dan hampir siap sepenuhnya,” katanya menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (Pas-Limbongan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, peruntukan diterima hanya mencukupi untuk kerja penyelenggaraan parit dan sistem saliran sedia ada.

Katanya, permohonan peruntukan tambahan berkaitan belum diluluskan berikutan kekangan kewangan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memainkan peranan penting memastikan parit di bawah seliaan masing-masing diselenggara dengan baik bagi mengelakkan masalah saliran,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini