Siasatan projek paip gas RM9.4 bilion masih diteruskan – Anwar - Utusan Malaysia

Siasatan projek paip gas RM9.4 bilion masih diteruskan – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap dua projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion yang dibatalkan masih diteruskan susulan terdapat unsur penyelewengan berdasarkan laporan yang diterima kerajaan setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan membabitkan Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) itu berdepan kesukaran mendapatkan maklumat kerana melibatkan dua negara.

“Kes ini belum ditutup. Apabila siasatan membabitkan dua negara, terdapat juga maklumat yang masih belum dapat kita peroleh setakat ini. Diharapkan kita dapat meneruskannya,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai Projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan MPP telah dibayar 88 peratus atau bersamaan dgn nilai RM8.3 bilion walaupun kemajuan kerja hanya 13 peratus telah dilaksanakan serta langkah-langkah kerajaan untuk mendapatkan semula wang yang telah dibayar sedangkan kerja belum disiapkan.

Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut berdepan kesukaran dalam menjalankan siasatan, namun perkara itu tidak dipandang ringan.

Beliau turut mempersoalkan kaedah pembayaran kontrak asal yang ditetapkan mengikut jadual tetap dan bukannya berdasarkan kemajuan pembinaan projek.

“Kedua-dua kontrak itu diberikan menerusi rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada November 2016.

“Menjelang 2018, sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak sudah dibayar walaupun kemajuan pembinaan dilaporkan hanya sekitar 13 peratus.

“Jika pembayaran perlu dibuat pada Disember, ia tetap dibayar walaupun projek belum menunjukkan kemajuan. Saya tidak memahami kaedah itu, tetapi begitulah pembayaran diluluskan,” katanya.

Projek TSGP bernilai RM4.06 bilion dirancang menghubungkan Kimanis dengan Sandakan dan Tawau di Sabah, manakala MPP bernilai RM5.35 bilion sepatutnya menghubungkan Melaka dan Port Dickson dengan Jitra, Kedah.

Kedua-dua projek itu diuruskan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan.

TSGP dicadangkan pada 2016 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membekalkan gas dari pantai barat untuk menjana sebuah loji janakuasa gas yang dirancang di pantai timur Sabah.

Projek itu dibatalkan pada 2018 oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) susulan laporan mengenai bayaran pendahuluan yang tinggi walaupun kemajuan pembinaan masih rendah.

Projek berkenaan kemudian dikatakan antara beberapa projek yang diberikan kepada syarikat China sebagai balasan kepada usaha menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), sebelum dihidupkan semula oleh pentadbiran Perikatan Nasional pada 2021.

Bagaimanapun, projek itu sekali lagi dibatalkan oleh kerajaan PH-BN ketika ini, berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Ekonomi di Parlimen pada 19 Februari 2025. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini